undefined

Utusan Malaysia - 16/02/2006
Oleh NOOR FAZRINA NOOR KAMAL

“SEBAGAI ibu, saya akan berasa gembira jika anak-anak selesa,” kata Denise Deroy, ibu kepada Adam Abelman Toh, dua tahun dan Isaac Newman Toh, tujuh bulan.

Denise, 33, yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, kualiti lampin pakai buang menjadi keutamaan beliau dan suaminya, Abelard Toh, 35, untuk dipakaikan kepada kedua-dua anak kesayangan mereka.

Dengan terciptanya format baru pemakaian lampin pakai buang yang berbentuk seluar, ia ternyata amat menjimatkan masa dan yang paling penting anak-anak kelihatan selesa.

Denise yang ditemui pada majlis ramah mesra antara ibu bapa dan media di sebuah kediaman di Tropicana Golf dan Country Resort dekat Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, penggunaan lampin DryPantz ternyata lebih menjimatkan dan tahan lama kerana kelebihan kuasa menyerapnya.

drypantzdrypantz1

“Jika digunakan pada waktu malam, anak-anak akan dapat tidur dengan lena sehingga waktu pagi,’’ ujar suaminya sambil memangku anak sulung mereka, Adam.

Pelancaran semula jenama lampin tersebut berlangsung dalam suasana santai dan dimeriahkan dengan hilai tawa anak-anak kecil yang menyerikan lagi majlis tersebut.

Menurut pengurus pemasaran SCA Hygiene Marketing (M) Sdn. Bhd., Ong Nguk Lui, masalah kesulitan menukar lampin terutama pada waktu malam merupakan sebab utama penghasilan lampin pakai buang berbentuk seluar itu.

“Tugas sebagai ibu bapa moden mempunyai pelbagai cabaran dan tekanan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja. Lampin ini dihasilkan setelah tinjauan dibuat terhadap ibu bapa yang menginginkan ciri-ciri lampin yang membolehkan lebih masa berkualiti bersama anak-anak mereka,’’ katanya pada majlis memperkenalkan lampin pakai buang DryPantz itu.

Ong berkata, lampin itu direka khas dengan konsep ‘senang dipakai dan senang ditanggal’ kerana untuk dipakai ia hanya perlu disarung dan apabila hendak menggantikannya ia hanya perlu dikoyak di bahagian kelim.

“Sungguh mudah dan menyenangkan,’’ ujarnya lagi.

Ditambah dengan corak yang cantik dan selesa, ia terdapat dalam tiga pek mini, sederhana dan jumbo dalam saiz, S, M, L dan XL. Ia boleh dibeli dalam lingkungan harga antara RM9.60 hingga RM38.90.

Popularity: 5% [?]

undefined
Utusan Malaysia - 25/12/2005

Soalan: Saya melahirkan anak sulung secara Caesarean kerana mengalami tekanan darah tinggi dan simptom-simptom praeklampsia.

Berapa lamakah saya perlu menanti sebelum hamil lagi? Bolehkah saya bersalin secara normal untuk anak yang berikutnya?

Jawapan: Tiada ketetapan yang khusus berhubung bila seseorang wanita itu boleh hamil lagi selepas menjalani Caesarean, tetapi kebanyakan doktor menasihatkan wanita agar menunggu dua tahun untuk hamil lagi.

Ini dapat memberi anda masa yang cukup untuk pulih daripada pembedahan, memastikan anak sulung sudah boleh berjalan dan tidak lagi meminum susu ibu, dan bersedia untuk menimang cahaya mata lagi.

Anda mungkin boleh bersalin secara normal untuk anak yang berikutnya kerana Caesarean kali pertama dilakukan atas sebab tekanan darah tinggi.

Kelahiran normal selepas Caesarean boleh dilalui dan anda mempunyai 75-80 peratus peluang untuk melahirkan bayi melalui faraj.

Kelahiran melalui faraj adalah lebih selamat jika dibandingkan dengan kelahiran Caesarean yang berulang. Akan tetapi, anda perlu berbincang dengan doktor berhubung beberapa kemungkinan risiko.

Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin, Pakar Perunding Kanan Obstetrik & Ginekologi, Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM).

Soalan: Dalam pembedahan Caesarean, jenis bius manakah yang patut dipilih - bius setempat atau bius umum?

Jawapan: Ia bergantung kepada anda dan pakar bius (pakar anestetik). Suntikan bius setempat seperti melalui tulang belakang (bius spinal) atau ruang epidura (bius epidural) adalah pilihan yang lebih selamat kerana ia menyingkirkan risiko muntah dan tersedut muntah ketika dan selepas pembedahan berbanding bius umum.

Anda juga boleh berjalan lebih awal selepas pembedahan dan anda dapat mengambil cecair dan makanan dengan lebih awal.

Dengan mengambil pertimbangan terhadap semua aspek ini, boleh dikatakan suntikan bius setempat adalah pilihan yang lebih baik meskipun ia mungkin tidak boleh diberikan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.

Soalan dijawab oleh Prof. Dr. Muhammad Abdul Jamil Mohd. Yassin.

Popularity: 5% [?]

undefined

Utusan Malaysia - 19/02/2006

SOALAN: Saya tetap memberi susu ibu sahaja kepada bayi sejak dia lahir dahulu, dan bekalan susu saya masih bagus walaupun bayi sudah berumur sembilan bulan. Bayi saya sangat aktif, mampu merangkak dan sedang belajar berdiri dengan sokongan perabot.

Adakah biasa bagi seorang bayi berusia sembilan bulan enggan memakan makanan pejal dan hanya ingin meminum susu ibu? Saya sudah mencuba pelbagai cara untuk menggalakkannya makan, tetapi dia selalu enggan.

Akan tetapi, dia nampak berminat dengan makanan apabila melihat suami dan saya makan, walaupun apabila kami cuba menyuapkannya dia tidak mahu makan. Adakah bayi saya mendapat nutrien-nutrien yang mencukupi daripada susu ibu, memandangkan umurnya sudah hampir setahun?

JAWAPAN: Susu ibu tidak memberi nutrien yang mencukupi untuk seorang bayi berumur sembilan bulan. Pada bulan keenam, pemberian makanan pelengkap mesti dimulakan.

Pada mulanya, bayi mungkin memakan hanya sedikit, tetapi jumlah makanan yang diambil akan bertambah apabila bayi semakin mahir memakan makanan separuh pejal dan lama-kelamaan, makanan pejal.

Adalah satu perkembangan yang baik apabila bayi anda berminat hendak makan apabila melihat ibu dan ayahnya sedang makan. Berikannya semangkuk makanannya sendiri dan biar dia cuba menyuap sendiri.

Tidak kira berapa banyak makanan yang sebenarnya dapat memasuki perutnya. Ini adalah hanya untuk membantunya belajar menyuap sendiri. Lebih baik jika anda juga menyuap si bayi dengan menggunakan sudu pada masa ini. Walau bagaimanapun, anda harus teruskan penyusuan ibu atau memberi susu ibu yang diperah kepadanya.

Memberi makan kepada seseorang bayi berumur sembilan bulan memang mempunyai cabarannya, tetapi dalam masa yang sama amat menyeronokkan juga. Pada umur ini, kebanyakan bayi sudah tumbuh beberapa batang gigi manakala otot-otot mulut dan lidah mereka bertambah kuat.

Ini bermakna bayi lebih mudah mengunyah dan menelan makanan, dan anda boleh memberikannya makanan yang semakin pejal selain bubur, bijirin dan sayur-sayuran lecek yang si bayi selalu makan beberapa bulan yang lalu.

Anda masih perlu berhati-hati dengan memastikan bayi tidak diberikan makanan yang sukar digigit, dikunyah atau ditelan.

Pada umur ini, si bayi juga mampu memegang sebarang objek dengan kuat. Ini bermakna anda kini boleh mula mengajarnya bagaimana untuk menyuap sendiri.

Berikan makanan seperti nuget ayam dan ikan tanpa tulang dalam potongan yang kecil (lebih baik jika dibuat sendiri supaya anda boleh memastikan ia tidak mengandungi garam, perisa atau bahan-bahan pengawet tambahan).

Selain itu, anda juga boleh berikan buah-buahan atau sayur-sayuran yang dipotong kepada saiz yang sesuai dengan bayi. Rebus, tapis dan kisar beberapa biji tomato untuk mendapat sos tomato yang boleh dimakan dengan makanan tersebut.

Ataupun, berikannya sebatang sudu plastik yang bersaiz kecil dengan semangkuk ubi kentang dan kacang pis yang dilecek. Berseronoklah memerhatikan si manja anda makan. Berikan perhatian anda apabila bayi makan, walaupun dia kini mampu menyuap sendiri.

Si bayi hanya dapat memakan sedikit sahaja pada bila-bila masa, sebab saiz perutnya yang masih kecil. Jangan berasa kecewa jika dia enggan makan selepas memakan hanya satu dua sudu makanan.

Terus berikannya makan setiap satu atau dua jam pada sepanjang hari, dan berikan susu ibu seperti biasa. Asalkan kadar tumbesaran si bayi adalah baik dan dia kekal aktif dan sihat sejahtera, anda tidak harus berasa terlalu risau dengan pemakanannya.

Anda harus menjadikan waktu makan suatu pengalaman yang seronok dan gembira bagi si bayi. Jangan jadikan pengalaman ini terlalu susah bagi si bayi serta diri anda sendiri. Si bayi akan lebih ingin mencuba makanan-makanan baru dan memakan dengan cara yang lebih matang jika proses ini mudah dan menyeronokkan.

SOALAN: Saya akan kembali bekerja tidak lama lagi, dan saya ingin terus memberi susu ibu kepada bayi saya yang berumur tiga bulan. Sebelum ini, saya memberi susu ibu apabila dikehendaki, jadi saya tidak tahu berapa banyakkah susu ibu yang harus saya simpan untuk setiap waktu penyuapan.

Haruskah saya menjadualkan waktu penyuapan bayi (susu ibu yang diperah ke dalam botol) setiap dua hingga tiga jam (lebih mudah bagi pengasuh bayi saya) atau terus meminta supaya pengasuh menyuap bayi mengikut kehendaknya (iaitu apabila si bayi menangis)?

JAWAPAN: Anda perlu mula memerah susu dan memberi bayi susu ibu menggunakan sudu atau botol sebelum anda kembali bekerja. Ini akan memberikan bayi anda masa yang lebih panjang untuk menyesuaikan dirinya dengan cara baru ini.

Anda harus menyimpan seberapa banyak susu yang boleh diperah pada suatu masa yang tertentu dan susukan bayi apabila diperlukan. Ini akan memastikan bahawa bayi mendapat susu yang mencukupi.

Anda juga mungkin perlu membuat sedikit kajian (dengan bantuan pengasuh) akan corak waktu penyuapan bayi. Tidak lama lagi, anda dan bayi anda memang akan dapat menyesuaikan diri kepada perubahan ini.

Pastikan bahawa anda menyimpan susu yang diperah dalam bekas-bekas steril yang boleh ditutup dengan sempurna. Labelkan bekas dengan tarikh dan waktu supaya anda tahu berapa segar susu dalam sesebuah bekas.

Jika tempat kerja anda mempunyai sebuah peti sejuk, anda boleh meletakkan bekasbekas tersebut di dalam peti sejuk beku. Susu ibu boleh disimpan pada suhu bilik sehingga lapan jam.

Anda mesti meluangkan masa untuk menyusukan bayi anda sebelum bertolak ke tempat kerja dan apabila pulang pada waktu petang. Penyusuan waktu malam patutlah langsung daripada ibu.

Lebih banyak bayi menghisap, lebih banyak penghasilan susu anda. Memerah susu tidak dapat memberi kesan yang sama pada penghasilan susu anda.

Walaupun susu yang diperah dapat memberi segala faedah susu ibu, tetapi tiada gantinya untuk hubungan emosi kuat yang didapati apabila anda menyusukan bayi.

Jika anda memerlukan lebih banyak maklumat tentang memberi susu ibu selepas kembali bekerja, program Smart Nutrition oleh Persatuan Pemakanan Malaysia telah mengeluarkan sebuah buku panduan penyusuan ibu bagi ibu-ibu yang mengandung dan baru bersalin.

SOALAN: Bilakah harus saya memberi bayi saya makanan selain daripada susu ibu?

JAWAPAN: Bayi sepatutnya diberi susu ibu sahaja selama sekurang-kurangnya enam bulan. Akan tetapi, untuk mengetahui bilakah masa yang tepat untuk memulakan makanan pejal, anda perlulah melihat perkembangan bayi.

Tanda yang paling ketara yang boleh dilihat ialah bayi masih kelihatan lapar selepas menyusu (lapan hingga 10 kali penyusuan atau 32 oz/946ml susu formula sehari). Bayi anda mungkin kelihatan berminat atau berkelakuan aneh apabila anda makan.

Bayi yang sudah bersedia untuk makan makanan pejal boleh mengangkat dan menyokong berat kepala sendiri. Berat badan bayi sekurang-kurangnya 6kg dan sudah dua kali ganda daripada berat lahir.

Bayi menunjukkan sifat ingin tahu tentang dunia sekelilingnya, mengekori objek dengan mata dan tersenyum apabila melihat sesuatu.

Bayi baru lahir akan menolak lidahnya ke luar mulut apabila sesuatu dimasukkan ke dalam mulut. Untuk memberi bayi makanan pejal, bayi perlulah dapat mengatasi refleks tolakan lidah yang kuat yang sedia wujud sejak lahir.

Kebanyakan bayi bersedia untuk menerima makanan pejal sekitar usia empat hingga enam bulan. Anda tidak perlu melihat kalendar; cuma perhatikan tanda-tanda perkembangan bayi.

Jika bayi merengek atau tidak menunjukkan minat untuk makan, kembalilah kepada penyusuan secara eksklusif untuk seminggu dua lagi dan cuba sekali lagi. Anda tidak perlu tergesa-gesa sebelum bayi berusia enam bulan.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

SOALAN: Berapa banyak garam yang selamat ditambahkan ke dalam sayur kukus lecek untuk bayi saya yang berusia tujuh bulan?

JAWAPAN: Garam berbahaya untuk bayi yang masih kecil, khususnya yang berusia di bawah empat bulan, kerana buah pinggang mereka masih belum matang dan tidak boleh mengumuhkan garam ke dalam air kencing.

Diet yang mengandungi terlalu banyak garam boleh menyebabkan bayi mengalami pendehidratan yang, dalam keadaan yang terlampau, boleh menyebabkan kerosakan organ.

Bayi memang memerlukan garam dalam jumlah tertentu di dalam dietnya tetapi ia sudah dibekalkan oleh susu ibu atau susu formula dan selepas empat bulan, ia boleh didapati daripada makanan yang tidak diproses seperti nasi, buah-buahan dan sayuran.

Jangan tambahkan garam ke dalam makanan bayi sewaktu atau selepas memasak makanan tersebut.

Anda juga perlu berhati-hati terhadap lain-lain perasa yang mengandungi garam, misalnya kicap, sos tomato, sos tiram dan sebagainya.

Ia tidak perlu ditambahkan ke dalam makanan bayi sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia 12 bulan. Jika anda menyediakan hidangan untuk seluruh ahli keluarga, ketepikan bahagian untuk bayi sebelum menambah garam.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon.

Soalan: Bolehkah bayi (enam bulan ke atas) menjadi pemakan sayur (vegetarian)?

Jawapan: Terdapat beberapa jenis falsafah pemakanan sayur. Diet yang paling ketat ialah vegan yang tidak mengandungi sebarang jenis makanan yang berasaskan haiwan, termasuk susu dan telur.

Terdapat zat-zat tertentu yang tidak hadir atau terlalu kurang dalam diet pemakan sayur, terutamanya vitamin B12, zat besi dan protein.

Adalah lebih mudah untuk memastikan pemakanan yang mencukupi untuk bayi anda jika dia tidak mengamalkan diet vegan.

Akan tetapi, jika anda melakukan perancangan yang bijak dan berhati-hati, anda masih boleh memberikan pemakanan sayur yang berkhasiat dan pelbagai kepada bayi anda.

Untuk melakukan perkara ini, anda perlu memastikan si bayi mengambil makanan daripada kumpulan makanan berikut pada setiap hari iaitu bijirin, susu dan hasil tenusu, kacang dan biji benih serta; kekacang, kacang dan hasil soya.

Jika bayi anda tidak mengambil makanan daripada kumpulan makanan ini atas sebarang alasan (misalnya jika dia cerewet makan, tidak gemarkan tekstur atau rasanya, alah atau tidak toleransi terhadap makanan tertentu atau faktor budaya), maka anda perlu mendapatkan nasihat dari pakar pemakanan atau pakar diet.

Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon.

Popularity: 6% [?]