Posted in Info Pendidikan at 9:49 pm | (No Comments)

LAPORAN mengenai lebih 51,000 pelajar tahun dua hingga enam di Terengganu yang tidak tahu bersolat, Sabtu lalu amat membimbangkan kita. Apatah lagi sebagai penduduk Malaysia yang mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi. Lebih menggusarkan ialah angka itu mungkin meningkat berkali ganda jika kajian yang sama dilakukan di negerinegeri lain. Di mana silapnya sehingga berlaku sedemikian. Malaysia sudah mengamalkan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara sejak 1985 lagi. Secara logiknya, tidak patut timbul masalah tidak tahu solat dalam kalangan umat Islam di negara yang kita sayangi ini.

Dalam mencari penyelesaian kepada isu ini kita tidak dapat lari daripada membicarakan peri pentingnya ibu bapa memainkan peranan melahirkan generasi anak soleh dan solehah. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih), ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Peraturan

Hadis ini jelas meletakkan tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mematuhi ajaran Islam terutamanya solat yang menjadi Rukun Islam kedua. Islam telah meletakkan peraturan yang cukup sempurna seperti dalam Rukun Islam. Contohnya, selepas mengucap dua kalimah syahadat, kita perlu menunaikan ibadat harian iaitu solat lima waktu sehari semalam.

Ia diikuti dengan ibadat sebulan dalam setahun iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan, ibadat zakat yang ditunaikan setahun sekali dan akhirnya ibadat yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup iaitu menunaikan haji bagi mereka yang mampu.

Solat ini pula disebut sebagai tiang agama sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w., “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka ia telah meninggalkan agama.” (riwayat Al-Baihaqi)

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya melatih anak-anak bersolat. Caranya, ialah kita sendiri perlu menunjukkan contoh kepada anak-anak dalam kehidupan seharian. Penegasan tentang kepentingan tanggungjawab ini amat jelas menerusi sabda Rasulullah s.a.w, “Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” (riwayat at-Tirmidzi)

Muslim yang tidak solat dikhuatiri cenderung melakukan maksiat kerana hati mereka tidak diisi dengan ayat-ayat Allah. Lantas tidak timbul rasa gerun dan takut tentang peringatan azab Allah ke atas mereka yang meninggalkan solat. Sebab itu, ada individu yang tidak berasa takut melakukan maksiat. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya, solat itu dapat mencegah kepada perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut: 45)

Dengan kata lain, solat dapat mengatasi pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam negara baik masalah keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja sehinggalah masalah jenayah seperti bunuh, rompak dan sebagainya.

Namun, jika generasi kanak-kanak tidak dilatih bersolat, adalah dibimbangi jiwa mereka yang ‘kosong’ itu akan dipenuhi oleh hasutan syaitan yang mengajak manusia melakukan kejahatan dan kemusnahan. Nauzubillah.

Ibu bapa mesti menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak termasuklah dalam bab ibadat khusus seperti solat. Sepatutnya, kita sentiasa menseimbangkan pendidikan agama dan pendidikan akademik kerana kita mahu melahirkan anak yang cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Ini penting kerana hubungan kita dengan anak-anak yang menjadi perhiasan dunia ini bukan tamat selepas kematian kita. Sebaliknya, anak-anak soleh dan solehah yang ditinggalkan itu mampu memberi bantuan kepada ibu bapa yang meninggal dunia. Ia melalui doa yang mereka pohon kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Rasullullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud, “Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)

Namun, jika anak tidak dididik, bagaimana kita boleh menaruh harapan mendapat bantuan atau pertolongan daripada mereka selepas kematian kita kelak. Berapa ramai anak-anak yang tidak dibekalkan dengan iman porak-peranda kerana berebutkan harta ibu bapa yang mati seperti yang kita saksikan dalam filem ‘Tiga Abdul’ arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Berapa ramai juga anak-anak lelaki yang hanya mampu duduk di tepi pintu menangisi kematian ibu atau bapa mereka kerana tidak tahu menunaikan solat jenazah yang amat mudah dilaksanakan. Sedangkan solat itu adalah antara kebajikan terakhir yang boleh dilakukan oleh anak sebagai tanda kasih kepada ibu bapa.

Perkara-perkara begini seharusnya menimbulkan kesedaran kepada golongan ibu bapa agar memberi lebih perhatian dalam bab fardu ain. Jangan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru-guru agama atau ustaz dan ustazah sahaja. Analoginya, adalah lebih mudah bagi anak-anak meniru perbuatan ibu bapa yang menunaikan solat di rumah.

Amalan

Apa salahnya, sekali-sekala ditunai solat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak-anak. Bagi yang telah mumaiyiz, bolehlah mereka dibawa ke surau atau masjid untuk melatih mereka sama-sama solat berjemaah. Semua ini penting kalau kita mahu melihat zuriat kita menjadi orang yang berguna di dunia dan akhirat. Seperkara yang tidak kurang penting ialah amalkan membaca al-Quran di rumah kerana amalan tersebut boleh membawa ketenangan dan rahmat kepada penghuninya.

Di akhirat kelak, Allah telah menegaskan yang solat menjadi persoalan utama semasa kita dihisab sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,, “Sesungguhnya perkara pertama yang dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyangnya, jika sembahyang itu sempurna maka beruntunglah dia, sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah ia, kalau kewajipannya yang perlu masih kurang Allah berfirman, “lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut”. Demikianlah seterusnya amalan yang lain.” (riwayat at-Tirmidzi).

Dalam dunia globalisasi yang penuh pancaroba ini, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai sistem pertahanan agar mampu menangkis sebarang cabaran yang mendatang. Konsep langit terbuka berikutan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membolehkan kita memperoleh maklumat menerusi internet di hujung jari. Itu belum termasuk dengan pelbagai saluran televisyen yang boleh ditonton melalui saluran berbayar.

Islam tidak menghalang kemajuan kerana semua perkembangan dan kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan jika ia digunakan dengan betul tetapi alat untuk menentukan baik atau buruknya ialah iman. Iman itu pula bukan mudah diperolehi seperti lirik lagu kumpulan Raihan, ‘iman tak boleh dijual beli-iman tidak boleh diwarisi’. Sebaliknya ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan istiqamah sebelum individu itu boleh digelar Mukmin.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Ciri-ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan memetik kata-kata Imam Syahid Hassan al-Banna tentang kesan solat ke atas aspek sosial masyarakat.

Katanya, kesan solat bukan hanya terbatas kepada individu sahaja sebaliknya ia adalah sistem yang lengkap meliputi pendidikan umat yang komprehensif. Solat dengan pergerakan jasmani serta waktunya yang teratur amat bermanfaat kepada tubuh badan. Dalam segi kerohanian, zikir-zikirnya, bacaan-bacaan serta doa-doanya amat baik untuk melatih jiwa serta melentur emosi.

“Bacaan di dalam solat (al-Quran merupakan sistem pengetahuan yang tinggi lagi lengkap) menyajikan akal dan membukakan minda terhadap banyak hakikat ilmu dan pengetahuan. Lantas, wujudlah insan yang keluar dari solat tersebut sebagai insan yang tekun, sihat tubuh badannya, lembut perasaannya dan penuh akalnya,” kata Imam Syahid Hassan.

Lagipun, pepatah Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi, kepada ibu bapa apa lagi yang mahu ditunggu. Sebaiknya, kita menggunakan masa yang ada sekarang untuk mendidik anak-anak kita beribadat agar mereka menjadi masyarakat yang cemerlang di masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia

Popularity: 5% [?]

Posted in Info Kehamilan at 10:27 am | Comments (4)

KEMATIAN bayi di dalam kandungan atau `lahir mati’ merupakan satu mimpi sedih bagi sesebuah keluarga khususnya ibu itu sendiri.

Segala impian untuk menimang cahaya mata, mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata. Selepas mengandung melebihi 22 minggu bayi mati dalam kandungan.

Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, namun hidup ini mesti diteruskan, peluang untuk mendapatkan anak masih ada.

Sebagai melengkapkan pengetahuan bagi ibu bapa dan ikhtiar untuk memastikan kandungan akan datang dapat dilahirkan dengan selamatnya, segmen Kesihatan mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.

Dr. Jamiyah memberitahu, “Bukan semua kes bayi lahir mati dapat dikenal pasti puncanya, kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu. Kadangkala ujian autopsi telah dilakukan tetapi punca kematian masih tidak diketahui.'’

Malah ada juga langsung tidak diketahui puncanya atau dikatakan takdir.

“Bagaimanapun bagi kebanyakan kes, ia boleh dielakkan daripada berlaku sekiranya ibu menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah yang tertentu semasa di dalam proses kehamilan dan prihatin terhadap kandungannya.'’

Namun, kes-kes yang tidak diketahui puncanya hanya melibatkan peratusan yang kecil.

“Permintaan dan nasihat saya, janganlah berputus asa sebaliknya positif bagi mendapatkan kandungan yang kedua dan seterusnya. Berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat,'’ ujar Dr. Jamiyah.

Apakah yang dikatakan istilah lahir mati atau stillbirth ini?

Lahir mati adalah kematian bayi di dalam kandungan selepas 22 minggu dikandung sebelum bayi sempat dilahirkan.

Maknanya bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin.

Keguguran atau `keguguran spontan’ pula adalah `kehilangan’ kandungan yang berlaku sebelum ia berusia 22 minggu ataupun berat bayi kurang daripada 500gm jika usia kandungan tidak diketahui.

Tanda & simptom keadaan lahir mati

* Apabila ibu mendapati bayinya tidak lagi bergerak untuk satu jangka masa yang panjang

* Rahim tidak membesar melewati masa

* Tiada sebarang pergerakan atau degupan jantung pada bayi semasa menjalani ultrasound.

Antara punca-puncanya

* Jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti jangkitan Torch iaitu toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes

* Masalah uri atau tali pusat. Uri dan tali pusat yang menghubungkan bayi dengan rahim ibu

Kemungkinan uri terpisah atau tercerai daripada rahim terlalu awal ataupun terjadinya pendarahan daripada tali pusat (vasa praevia) dan uri

* Trauma atau kecederaan yang dialami di bahagian abdomen/perut ibu

* Tekanan darah tinggi yang dialami ibu, (kemungkinan ada atau tiada kaitannya dengan kehamilan)

* Diabetes

* Kecacatan struktur bayi yang melibatkan paru-paru, jantung, otak dan buah pinggang.

Masalah kromosom yang tidak normal adalah sebab paling utama yang menyebabkan kematian janin di peringkat awal. Ia merangkumi lebih daripada 50 peratus punca keguguran spontan.

* Ibu mengalami gangguan autoimun, suatu keadaan di mana sistem imun atau antibodi seseorang itu yang menyerang dirinya sendiri.

Terdapat sebab-sebab lain yang mungkin turut menyumbang kepada kes lahir mati ini. Namun 10 peratus kes-kes lahir mati ini tidak diketahui puncanya.

Apakah yang patut dilakukan bagi mengelak insiden lahir mati?

* Mengawal itu kadangkala boleh dilakukan dengan mengelak daripada faktor-faktor berisiko semasa mengandung

* Mengawal diabetes mahupun darah tinggi yang boleh mengurangkan risiko lahir mati

* Mengelak daripada penyakit rubella dengan mendapatkan suntikan rubella lebih awal sebagai sebahagian daripada pelalian

* Elakkan makan daging mentah dan membela kucing-kucing untuk menghalang daripada toxoplasmosis

* Kerap mencuci tangan merupakan amalan baik yang boleh menghalang wanita hamil daripada dijangkiti penyakit

* Tidak merokok mahupun menghisap dadah apalagi semasa hamil. Ini kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan bayi terbantut dan boleh meninggikan risiko insiden lahir mati.

Dr. Jamiyah berkata, lazimnya punca-punca ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, kecacatan semula jadi bayi, masalah uri dan tali pusat serta keadaan ibu berpenyakit yang boleh menjejaskan kehamilan.

Kecacatan adalah punca biasa namun sering kali terlepas pandang, seperti kes-kes bayi meninggal dalam kandungan ini.

Hampir 50 peratus kes keguguran spontan di peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal ataupun kecacatan struktur anggota bayi.

Uri dan tali pusat adalah saluran nyawa bayi untuk mendapatkan bekalan oksigen dan zat-zat makanan.

Andai terdapat masalah bagi salah satu daripadanya bermakna terputuslah `saluran nyawa’ bayi. Ia boleh juga mengakibatkan gangguan teruk bagi kelancaran peredaran darah, oksigen dan zat-zat makanan kepada bayi.

Uri dan tali pusat `sering dipersalahkan’ sebagai punca kematian bayi dalam kandungan ini namun ia masih merupakan `penyumbang’ sederhana di atas sebilangan kes lahir mati ini.

Biarpun bukan kebiasaan, keadaan ibu juga mungkin bertanggungjawab kepada kematian bayi dalam kandungan.

Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes dan darah tinggi serta rawatan ke atasnya kadangkala boleh menyebabkan bayi lahir mati.

Apa yang jelas, ujar Dr. Jamiyah, terdapat beberapa punca luar biasa lain yang menyumbang kepada kematian bayi dalam kandungan ini.

Beliau juga memberitahu, bayi yang dilahirkan lahir mati ini berhak mendapat sijil kematian dan dikebumikan oleh keluarga tersayang.

Melahirkan bayi lahir mati

Dr. Jamiyah menambah, ibu dan bapa berhak menentukan bilakah bayi itu patut dilahirkan walaupun ia sudah meninggal di dalam perut ibu.

Bagi seseorang ibu yang sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan, keputusan untuk mengeluarkan bayi itu bergantung kepada ibu bapa bayi berkenaan untuk satu tempoh yang dianggarkan.

Bagi pihak doktor, apa yang dapat dilakukan ialah memberi pandangan dari pelbagai sudut, buruk dan baiknya melahirkan bayi itu serta cepat atau lambat.

Ibu boleh membuat pilihan sama ada untuk menanti waktu kelahiran secara semula jadi atau merangsang kelahiran secara paksa.

“Bukan semua yang mahu menanti saat kelahiran normal itu sedangkan bayinya sudah meninggal. Kita faham akan keadaan ini.

“Cuma kita hanya memberi pandangan dari sudut kesihatan dengan memberi sedikit masa sambil mengawasi kesihatan ibu. Itu pun kalau ibu atau keluarganya bersetuju. Keputusan dibuat oleh ibu atau keluarganya sendiri,'’ katanya.

Tidak salah jika seseorang ibu itu ingin menunggu kelahiran secara semula jadi tanpa paksaan. Walau bagaimanapun ada kalanya ia boleh melibatkan masa yang agak lama.

Jika ia melebihi empat minggu daripada tarikh bayi itu meninggal di dalam rahim, keadaan ibu harus diawasi agar masalah lain tidak timbul.

Dr. Jamiyah menambah, jika rangsangan atau paksaan bagi melahirkan bayi itu dilakukan, ia harus dilaksanakan dengan teliti kerana ia boleh melibatkan komplikasi kerana rahim belum bersedia untuk proses kelahiran.

Pintu rahim selalunya diperiksa untuk memastikan ia bersedia untuk proses kelahiran. Ini boleh memakan masa beberapa jam dan kadangkala melebihi 24 jam.

Ini adalah untuk memastikan risiko terhadap ibu di tahap yang rendah. Jika rahim dipaksa secara terus-menerus, ia boleh mengakibatkan rahim itu koyak dan memudaratkan ibu.

Maka sebab itulah, pihak doktor akan meneliti kes itu secara teliti sekiranya ibu sudah bersedia bersalin atau jika ia memerlukan rangsangan, ia dilakukan dengan teliti.

Ibu boleh melahirkan bayi itu secara normal selepas diberi bantuan yang secukupnya atau apabila sudah ada rasa untuk bersalin.

Bagaimanapun sekiranya terdapat komplikasi lain, doktor akan mencadangkan pembedahan Caesarean demi menyelamatkan ibu.

“Tugas kami adalah untuk menyelamatkan ibu dan inilah keutamaannya,'’ ujar Dr. Jamiyah berulang kali.

Sokongan suami dan keluarga

Beliau menegaskan, di kala isteri melalui saat-saat yang menyedihkan seperti ini, suami atau bapa serta ahli keluarga hendaklah memberikan sokongan moral kepada isteri atau ibu.

“Kemurungan dan kesedihan boleh terjadi dan menjejaskan kesihatan isteri dan ini hendaklah dielakkan,'’ jelas Dr. Jamiyah lagi.

Menyedari hakikat ini, pihaknya merancang menubuhkan kumpulan sokongan untuk membantu ibu-ibu yang melalui pengalaman sedih atas kehilangan bayi.

Bagaimanapun menurut Dr. Jamiyah, sekiranya ibu itu sudah sihat semula, maknanya dia sudah bersedia untuk mengandung lagi dan melahirkan anak yang normal asalkan dia menjaga kesihatannya.

Pihak doktor pula mengawasi kesihatan ibu dan ibu hendaklah datang berjumpa doktor secara berkala lebih-lebih lagi mendapati bayinya tidak bergerak lagi.

Tidak ada istilah `bayi tidur’ sepanjang masa sewaktu kehamilan lebih-lebih lagi jika bayi itu sudah besar.

Walaupun bayi yang melebihi tujuh bulan mempunyai ruang yang terhad untuk pergerakan tetapi ia mesti bergerak seperti biasa.

Cuma kekuatan tendangan akan berkurangan kerana ia sudah membesar dan memenuhi hampir seluruh ruang rahim.

“Bayi yang normal akan bergerak lebih daripada 10 kali dalam masa 12 jam sehari. Bayi akan tidur di dalam kandungan tetapi tidak sepanjang masa.'’

Dr. Jamiyah juga menyarankan bakal ibu atau ibu menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil, bagi mendapatkan maklumat bukan sahaja mengenai kelahiran, penyusuan ibu malah lain-lain yang ada kaitannya dengan ibu dan anak.

“Kepada suami, berilah semangat dan kasih sayang terhadap isteri di samping anda sendiri juga perlu tabah dan berfikiran positif,'’ kata Dr. Jamiyah di akhir pertemuan itu.

Sumber:Utusan Malaysia

Popularity: 14% [?]

Key Words With Ladybird - Series 1
W. Murray

Kesesuaian Usia: 3+


Buku 1a : Play With Us

Buku 1a memperkenalkan watak Peter dan Jane yang merupakan watak utama dalam siri ini. 16 perkataan baru seperti ‘and’, ‘I’, ‘likes’ dan ‘has’ diperkenalkan dalam buku ini. Setelah tamat pembelajaran akan bersambung di buku 1b pula.

Buku 1b : Look At This

Buku 1b adalah kesinambunagan dari buku 1a dan memperkenalkan 16 lagi perkataan baru seperti ‘toys’, ‘trees’ dan ‘ball’

Buku 1c: Read And Write

Buku 1c memperkukuhkan pengalaman pembelajaran kanak-kanak dengan mempraktikkan perkataan-perkataan baru yang telah dipelajari melalui penulisan pula.

Latar Belakang Program Key Words With Ladybird

Mengikut kajian William Murray, pengasas program ini, di dalam Bahasa Inggeris… 12 perkataan asas membentuk hampir 1/4 daripada perkataan yang dipertuturkan seharian. Dan 100 perkataan lagi membentuk lebih separuh perkataan pertuturan seharian dalam Bahasa Inggeris. Jadi dengan mengajar anak-anak mengenali beberapa perkataan asas ini maka akan lebih mudah untuk anak-anak cepat membaca.

Skim pembelajaran Key Words With Ladybird telah berada lebih 40 tahun di pasaran:

  • Antara program latihan membaca paling berjaya di dunia
  • Lebih 90 juta kanak-kanak telah belajar membaca melalui program ini
  • Menjadi pilihan utama para ibu bapa, dan guru dalam mengajar membaca di dalam Bahasa Inggeris
  • Direka bentuk khusus bagi memudahkan kanak-kanak membaca dengan disertai ilustrasi yang menarik dan jalan cerita yang menyeronokkan

Anda boleh dapatkannya di sini secara online.

Popularity: 8% [?]