Kasih sayang, pemakanan berkhasiat dan genetik juga faktor penting melahirkan anak pintar

KEPINTARAN dan perkembangan minda bayi boleh dirangsang sejak dalam kandungan. Stimulasi terhadap bayi termasuk membacakannya buku boleh dilakukan apabila kandungan memasuki usia empat bulan.

Rangsangan berterusan, kasih sayang, pemakanan berkhasiat dan genetik adakan faktor gabungan bagi melahirkan anak pintar.

Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Kampung Baru, Dr Khairul Azman Mohd Khalid, berkata menerusi teknik imbasan otak terkini, dakwaan penyelidik sejak 20 tahun lalu iaitu persekitaran bayi memberi kesan dramatik kepada perkembangan otaknya sudah terbukti.

Selama berdekad-dekad saintis dan penyelidik seluruh dunia cuba memahami perkembangan janin dalam rahim. Sekitar 1970an, saintis begitu teruja apabila mendapati janin di dalam rahim peka terhadap persekitarannya.

Sekitar 1980 pula, saintis mula menemui bukti janin boleh mendengar, merasa, melihat dan menikmati pengalaman baru pada penghujung usia kehamilan.

Semua penemuan itu disahkan beberapa penyelidik terkemuka seperti Dr Glenn Doman dan Dr M Shichida. Penyelidikan lima dekad oleh Shichida pula mendapati ketika janin membesar di dalam rahim, dia menerima rangsangan daripada persekitaran di luar rahim menerusi ibunya.

Semua rangsangan ini membentuk pengalaman baru kepada janin yang membantu pertumbuhan otak.

Bagaimanapun kata Dr Khairul Azman, melahirkan anak pintar tidak cukup sekadar mempertaruhkan faktor genetik dan kekerapan rangsangan pada janin tetapi juga banyak faktor lain perlu digabungkan.

“Melahirkan anak pintar bermula pada peringkat pemilihan jodoh. Kepintaran anak diwarisi menerusi genetik. Ibu yang pintar tetapi ayah kurang pintar memberi peluang anak mewarisi 50 peratus kepintaran. Tetapi kalau kedua-duanya bijak, peluang mendapat anak bijak lebih besar,” katanya.

Kecerdikan ibu bapa tidak semestinya bergantung kepada segulung ijazah walaupun pada umumnya semua lepasan universiti itu bijak pandai belaka. Kecerdikan mungkin boleh diukur pada bakat dan kemahirannya dalam bidang seni, pertukangan atau kejuruteraan.

Faktor genetik itu pula perlu digabungkan dengan kesihatan ibu yang baik. Justeru pemilihan makanan berkhasiat, pengambilan vitamin dan zat galian yang betul dan mencukupi sepanjang tempoh kehamilan juga penting.

Pemakanan untuk anak yang bijak dan sihat

“Jangan ambil ubat-ubatan herba atau apa saja ubat yang kononnya memudahkan bersalin dan mengurangkan kesakitan bersalin. Ia sebenarnya tidak banyak membantu,” katanya.

Pengambilan minyak ikan Omega 3. Ia adalah makanan terbaik untuk perkembangan otak bayi. Kandungan EPA dan DHA yang boleh ditemui dalam minyak ikan diperlukan untuk perkembangan yang sihat.

“Minyak ini juga komponen terpenting dalam pembentukan sistem saraf dan retina. Kekurangan satu atau kedua-duanya dikaitkan dengan kelahiran bayi pra matang atau bayi lahir dengan berat badan bawah paras normal,” katanya.

Minyak ikan juga penting untuk ibu. Pada peringkat ketiga kehamilan, ibu akan memindahkan kebanyakan simpanan DHA kepada janin, yang diperlukan untuk pembentukan sistem saraf dan otak bayi. Justeru keperluan kepada Omega 3 sangat penting kerana bayi hanya boleh mendapatkan khasiat ini melalui ibu. Kesihatan ibu boleh terancam jika tidak mendapatkan bekalan secukupnya.

Kekurangan EPA dan DHA boleh menyebabkan ibu hamil mengalami masalah tekanan darah tinggi (yang akan dihadapi pada waktu kehamilan saja). Ketika hamil juga ibu akan kehilangan tiga peratus jisim otaknya disebabkan kekurangan EPA dan DHA. Sesetengah saintis percaya keadaan ini membawa kepada masalah tekanan perasaan selepas bersalin seperti gila meroyan.

Satu lagi pemakanan terbaik untuk bayi adalah susu ibu. Sebaik-baiknya berikan anak anda susu badan sehingga dia berusia dua tahun atau sehingga dia berusia enam bulan. Bayi yang menyusu badan dikatakan lebih cerdik berbanding bayi tidak menyusu badan.

Ketika bayi mencecah usia enam bulan, perkenalkan makanan tambahan seperti bubur nasi. Bagaimanapun ini tidak bermaksud ibu boleh menghentikan pemberian susu badan.

“Ibu tidak bekerjaya berpotensi tinggi mendapatkan anak bijak menerusi sentuhan dan belaian berterusan berbanding anak yang diletakkan di pusat jagaan atau ditinggalkan dengan pembantu rumah,” katanya.

Sepanjang kehamilan juga kata Dr Khairul Azman, penting bagi orang Islam berdoa untuk memastikan keselamatan dan kepintaran anak yang bakal dilahirkan.

Pembinaan kepintaran bayi selepas dilahirkan

Tiga tahun pertama adalah tahap usia anak paling penting. Ketika ini otaknya sibuk membina sistem jaringan. Aktiviti otak menghasilkan rangkaian elektrikal kecil dikenali sebagai ‘synapses’ (sinaps - pertemuan neuron dengan organ efektor).

Jumlah rangsangan yang diterima bayi memiliki kesan langsung pada jumlah sinaps yang terbentuk. Rangsangan berterusan akan memperkemaskan hubungan itu dan menjadikannya kekal.

Perkembangan otak pada ketika ini berlaku sekali saja seumur hidup dan ibu bapa berpeluang membantu anak merangsang pembentukan litar otaknya.

Bagaimana merangsang bayi

1. Kasih sayang - Anak yang diletakkan di pusat jagaan punya banyak rangsangan tetapi kurang kasih sayang! Anak tidak pernah cuba untuk memanipulasikan ibu bapanya jauh sekali mengawal anda. Kasih sayang adalah keperluan biologi anak. Kasih sayang menghasilkan kekuatan dalaman padanya dan meningkatkan pembangunan otak.

2. Bercakaplah dengan bayi anda - Bercakap dengan pelbagai nada, pelbagai bahasa, tatabahasa dan hasilkan banyak mimik muka. Suara anda adalah irama paling merdu dan menjadi pujaannya (kerana dia sudah mendengar suara itu sejak dalam rahim).

3. Bertindak balas - Jangan mengelak dengan sebarang permintaannya. Ini bagi memberitahu dia boleh berkomunikasi dengan orang lain dan memberikan kekuatan rasa percaya dan emosi yang stabil. Jangan biarkan dia menangis terlalu lama. Bertindak balas apabila dia menangis kerana menerusi tangisan anda berupaya menterjemahkan permintaannya.

4. Sentuh bayi anda - Penyelidik mendapati bayi yang lahir kurang matang tetapi diurut akan membesar dengan cepat, kurang menangis dan akan dikeluarkan dari hospital lebih awal.

5. Berikan pengalaman baru - Bawa dia bersiar-siar, membeli belah dan beri dia nikmati pengalaman baru.

6. Bacakan buku - Walaupun bayi tidak akan mengikuti cerita yang anda bacakan, dia akan tertarik dengan gambar ditunjukkan dan suara anda yang pelbagai nada ketika bercerita.

7. Biarkan dia menjelajah suhu berlainan dan tekstur berbeza. Berikan dia ruang untuk meneroka secara sendirian.

8. Mainkan muzik - Muzik Mozart didapati boleh merangsang sesetengah nueron dalam otak yang kemudiannya digunakan untuk matematik.

9. Apabila anda rasa marah atau geram kerana bayi anda kerap menjatuhkan barang perhiasan atau buku atau menumpahkan makanan ke lantai, sebenarnya dia cuba mengetahui bagaimana dunia ini berfungsi.

Fakta

Tumbesaran

* Bayi punya keperluan biologi dan keinginan untuk belajar.

* Asas jaringan sinaps otak hampir sempurna selepas pembentukan otak secara berterusan.

* Lagi banyak rangsangan pengalaman diberikan, lagi banyak jaringan dibina untuk keperluan pembelajaran pada masa hadapan.

* Bayi suka pada imej kontras. Bayi yang berusia 0-setahun sukakan warna merah, hitam dan putih.

* Rangsangan visual boleh menghasilkan lebih peluang untuk dia belajar menerusi kepekaan, penumpuan dan kecurigaannya.

* Tidak perlu membeli banyak permainan jika tidak digunakan kerana ‘toy’ bayi yang terbaik adalah anda selaku ibu bapanya. Justeru manafaatkan setiap saat untuk berinteraksi dengannya.

Pemakanan

a) Peringkat tiga bulan pertama kandungan - keutamaan hanya pada pengambilan asid folik sama ada menerusi sayur-sayuran atau dalam bentuk tablet. Pemakanan ibu pada peringkat ini untuk memastikan perkembangan organ janin yang sempurna. Pada peringkat ini pemakanan tambahan yang lain belum diperlukan.

b) Peringkat kedua dan ketiga kehamilan - pengambilan asid folik ditambah dengan pengambilan zat besi, B kompleks, dan omega 3.

Popularity: 11% [?]

Anak usia setahun perlu tidur lapan jam

Soalan: Berapa jamkah seorang bayi berusia setahun perlu tidur dalam sehari? Bagaimanakah cara untuk memaksa anak tidur lebih awal/ lebih banyak?

Jawapan: Selalunya anak berusia setahun memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam tidur tetapi ramai anak yang tidur 10 jam atau lebih.

Mereka juga akan tidur waktu siang. Anak perlu ditidurkan pada masa yang sama tiap-tiap hari atau malam. Kurangkan aktiviti dan tontonan televisyen sebelum tidur.

Cuba buatkan rutin membaca buku semasa anak hendak tidur – ini akan meningkatkan interaksi anak dengan ibu bapa dan juga menggalakkannya lebih suka membaca buku.

Satu lagi cara menidurkan anak ialah dengan mengurut bayi yang akan meningkatkan hormon melatonin dan kurangkan kortisol supaya anak rasa tenang dan lebih senang tidur.

Popularity: 3% [?]

infolahir

Bersama Dr Idora Mohamad

Soalan: Saya sedang hamil anak sulung dan ketika ini berada di Australia. Ketika usia kandungan 33 minggu, bidan di sini melakukan pemeriksaan yang dikenali sebagai ‘vaginal swab’. Hasil pemeriksaan itu, saya didapati berhadapan dengan masalah bakteria ‘Group B Strep (GBS). Bidan kemudiannya menyarankan saya diberi antibiotik ketika bersalin nanti.

Saya ingin tahu,adakah GBS sesuatu yang amat bahaya kepada bayi seperti yang baca dalam internet. Bagaimana saya boleh mengelakkan bayi daripada tersedut GBS. Apakah pula rawatan sebelum dan selepas bersalin?

Jawapan: Pemeriksaan ‘vaginal swab’ ialah pemeriksaan didalam faraj dengan mengambil sedikit cecair dari bahagian dalamnya yang akan diuji untuk kehadiran kuman-kuman, khususnya bakteria yang dipanggil ‘Group B Streptococcus’. Di negara barat dan Australia, ia menjadi amalan antenatal yang rutin.

Di dalam mana-mana rongga manusia, ada kehadiran kuman-kuman yang tidak memberi apa-apa masalah kepada hosnya walaupun dengan sendirinya, kuman-kuman ini boleh membawa penyakit.

Kuman-kuman ini membentuk satu ekosistem yang tersendiri. Di dalam faraj wanita, usus dan saluran kencing pun begitu, dan GBS ialah salah satu daripada kuman dalam ekosistem ini.

Satu kajian di Australia menjangkakan GBS hadir dalam 12-15% dari wanita yang mengandung. Dari kumpulan ini hanya satu hingga dua peratus bayi yang lahir terkena jangkitan ini dalam minggu pertama kehidupan. Secara keseluruhannya, dijangka antara satu hingga empat orang bayi dari tiap-tiap 1000 kelahiran dijangkiti GBS. Jadi, bukan semua bayi akan mendapat jangkitan ini secara otomatik walaupun ibu itu membawa GBS. Kebanyakannya tidak akan dijangkiti walaupun GBS ini dapat dikesan dalam 50% dari bayi-bayi ini.

Semenjak tahun 70-an, jangkitan dari kuman GBS menjadi jangkitan yang paling biasa menyebabkan kematian dalam bayi-bayi baru lahir. Jangkitan GBS dibahagi kepada dua jenis; yang pertama ialah jangkitan yang terjadi dalam 24 jam pertama kelahiran hingga tujuh hari. Jangkitan pada tahap awal ini biasanya melibatkan radang paru-paru, septisemia dan jarang sekali jangkitan otak (‘meningitis’).

Septisemia ialah jangkitan yang merebak melalui darah ke seluruh badan, termasuk organ-organ penting seperti hati, jantung dan buah pinggang. Kadar kematian lebih tinggi bila septisemia berlaku. Jangkitan jenis kedua berlaku selepas seminggu hingga tiga bulan. Jangkitan pada masa ini ialah septisemia dan meningitis. Ada juga bayi yang mendapat kesan sampingan selepas jangkitan seperti kecederaan penglihatan, pendengaran, percakapan dan mungkin juga mendapat kecacatan perkembangan otak. Memang, jangkitannya serius dan akan menghayat hati kedua ibubapa.

Jika tidak semua yang membawa GBS akan menyebabkan jangkitan kepada bayinya, siapakah yang lebih berisiko? Kemungkinan untuk mendapat jangkitan ini lebih tinggi jika seseorang itu bersalin sebelum cukup bulan (tidak sampai 37 minggu), jika selaput ketuban yang telah koyak dan air ketuban keluar selama 18 jam atau lebih sebelum bersalin, demam yang tinggi semasa hendak bersalin, didapati ada kehadiran GBS dalam faraj terutama sekali pada tahap akhir mengandung dan pernah melahirkan bayi yang telah dijangkiti GBS selepas bersalin. Satu lagi faktor risiko ialah bila GBS dikesan didalam jangkitan air kencing.

Itulah sebabnya pengesanan GBS dilakukan pada minggu 33-37 mengandung melalui cara yang puan lalui. Jika ibu-ibu ini dikesan ada GBS, mereka tidak perlu ambil antibotik dengan segera. Ini ialah kerana GBS mudah untuk muncul semula di dalam faraj selepas rawatan. Jadi saranan terbaik sekarang ialah pemberian antibiotik semasa peringkat awal terasa sakit hendak bersalin.

Antibiotik yang efektif ialah penisilin dan dengan mulanya program ini, insidens bayi mendapat jangkitan yang serius telah berkurangan. Antibiotik ini akan diberikan melalui saluran darah dan ia lebih efektif jika diberi empat jam sebelum bayi dilahirkan.

Selepas bersalin, biasanya, bayi akan diperhatikan untuk mengesan tanda-tanda awal jangkitan. Antibiotik tidak perlu diberi jika bayi itu sihat dan tidak menunjukkan kesan-kesan jangkitan, tetapi rawatan yang diterima berbeza-beza di hospital-hospital berlainan.

Masalah GBS ini sudah lama dikenali tetapi tidak dapat dibasmikan sepenuhnya. Begitupun, ia sudah dapat dikesan dengan cepat dan boleh dirawat dengan efektif. Di Malaysia, kebanyakan hospital tidak melakukan pemeriksaan ‘vaginal swab’ secara rutin, tetapi mengikut kes-kes berisiko.

Jika GBS dikesan, langkah-langkah seperti yang diterangkan diatas akan dilakukan. Ingat, 98% dari bayi yang ibunya dikesan mempunyai GBS adalah normal dan tidak mendapat jangkitan. InsyaAllah, puan akan termasuk dalam golongan ini.

Sumber: Berita Harian

Popularity: 4% [?]