Posted in Info Kelahiran at 4:40 pm | (No Comments)

Beruntunglah wanita yang mempunyai suami penyayang dan sanggup menguruskan kerja rumah ketika isteri berpantang. Bantuan suami bukan saja penting untuk kesihatan mindanya, tetapi dapat memberi peluang isteri berehat selepas menjalani satu tempoh tekanan yang panjang.

Tidak ramai tahu kehamilan memberi banyak tekanan kepada badan wanita. Malah, pada masa sama wanita juga boleh mengalami tekanan emosi, terutama jika kehamilan itu tidak dikehendaki.

Sedar atau tidak, kehamilan membawa banyak perubahan fizikal dan emosi kepada wanita. Selepas bersalin, ramai wanita lebih memberi tumpuan kepada bayi dan suami sehingga kadangkala ada yang lupa mengambil berat kesihatan diri sendiri.

Berpantang memberi peluang kepada wanita untuk berehat secukupnya kerana kehamilan boleh menyebabkan beberapa gangguan kepada fungsi asal badan. Ini sebabnya setiap pasangan disaran merancang keluarga yang bukan saja baik untuk bayi, bahkan demi kepentingan wanita sendiri.

Dr Ho berkata, jika dulu masalah sukar mengawal kencing hanya berlaku pada wanita yang banyak kali bersalin, terutama selepas berumur 40 tahun ke atas, kini semakin ramai wanita muda mengalaminya, walaupun baru ada seorang anak.

Kira-kira lima hingga 30 peratus wanita mengalaminya akibat bersalin secara normal, manakala 60 peratus lagi disebabkan proses penuaan, terutama selepas menopaus. Dianggarkan 11 peratus wanita berumur 70 tahun ke atas menjalani pembedahan akibat kejatuhan rahim atau masalah kencing tidak lawas.

Wanita boleh mengalami masalah sama ada kencing tidak lawas atau tidak dapat mengawal kencing. Ada kalanya kedua-dua masalah berlaku serentak akibat kelemahan otot pundi kencing, sekali gus memaksa wanita kerap pergi ke bilik air. Ia menyebabkan wanita terkencing sedikit setiap kali bersin, batuk atau cuba bangun selepas lama duduk.

Kekal sihat dan cantik

Dr Ho berkata, antara cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah sampingan akibat kejatuhan rahim ialah melalui senaman Kegel (kemut). Namun bukan semua wanita (walaupun berkahwin) tahu otot mana perlukan senaman ini.

Caranya mudah, iaitu dengan membuat kemutan ketika buang air kecil bagi menghentikan aliran air kencing. Otot ini yang perlu ‘dikuatkan’ semula. Setiap wanita disaran melakukan senaman kemut ini sebanyak 50 kali sehari sepanjang hayat.

Ia senaman mudah dan boleh dilakukan bila-bila masa tanpa diketahui orang lain. Malah, ia juga baik untuk diamalkan wanita mengandung untuk menguatkan otot vagina dan memudahkan proses bersalin.

“Ramai wanita mengadu mengalami masalah berat badan berlebihan selepas melahirkan anak. Tempoh berpantang adalah waktu terbaik untuk mengurangkan berat badan. Caranya mudah iaitu dengan hanya berjalan 20 hingga 30 minit sehari dan boleh dimulakan dua minggu selepas bersalin.

“Bagaimanapun, jangan berdiet kerana ibu dan bayi sama-sama memerlukan banyak khasiat pemakanan. Elakkan juga berdiri terlalu lama kerana kesan graviti menyumbang kepada masalah rahim jatuh,” katanya dalam ceramah kesihatan anjuran bersama Institut Pengurusan Wanita (WIM) dan Schering (M) Sdn Bhd.

Wanita selepas bersalin juga kerap mengalami masalah sakit pinggang atau belakang yang kadangkala berlanjutan sepanjang hayat. Mengamalkan postur (posisi) badan baik ketika duduk atau bekerja juga dapat mengelakkan masalah sakit belakang.

Selain itu, wanita berpantang juga diingatkan supaya tidak mengangkat benda berat. Katanya, benda paling berat yang boleh diangkat ialah bayi anda.

Senaman lain yang lebih lasak seperti berbasikal (statik atau bergerak) dan berenang hanya boleh dilakukan selepas enam bulan bersalin.

Namun paling penting ialah mengekalkan kesihatan minda dan emosi dengan merancang keluarga iaitu menjarakkan kehamilan antara dua hingga tiga tahun.

Kata Dr Ho, banyak masalah emosi dan minda berpunca daripada kehamilan yang tidak dikehendaki sehingga ada wanita nekad menggugurkan bayi, walaupun bersuami.

Pengguguran bukan cara merancang keluarga. Wanita yang menggugurkan anak berisiko tinggi mengalami pelbagai komplikasi seperti trauma emosi, keresahan, mengandung luar rahim, pendarahan berlebihan dan jangkitan.

Malah, pengguguran yang tidak dijalankan dengan berhati-hati boleh menyebabkan pendarahan berlebihan serta rahim berlubang. Lebih parah jika wanita berkenaan tidak dapat mengandung pada kemudian hari yang akan menyebabkannya diburu rasa bersalah sepanjang hayat.

Popularity: 20% [?]

Ibu bapa disarankan membawa anak mereka untuk menjalani pemeriksaan mata selewat-lewatnya pada usia tiga tahun bagi mengesan sebarang risiko ketidaknormalan penglihatan.

Pakar Mata Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (Thoneh), Dr Zainal Mohamad, berkata pemeriksaan awal boleh membantu mengurangkan risiko penyakit mata, insiden kebutaan serta memperbaiki pendekatan dalam rawatan penyakit berkaitan mata.

Beliau yang ditemui selepas Seminar Dunia Penglihatan Kanak-kanak: Perkembangan, Masalah dan Rawatan, di sini hari ini, berkata permasalahan mata di kalangan kanak-kanak jika dikesan pada usia yang lewat, akan menyukarkan usaha merawatnya dan mungkin menyebabkan kecacatan kekal.

“Sebaliknya, jika masalah itu cepat dirujuk kepada pakar, kanak-kanak mungkin hanya perlu menjalani rawatan yang mudah seperti hanya perlu menggunakan cermin mata atau pembedahan kecil untuk memperbaiki masalah mereka,” katanya.

Beliau yang sebelum itu membentangkan kertas kerja berjudul “Apa Yang Mereka Lihat dan Perkembangan Penglihatan Normal”, berkata perkembangan penglihatan kanak-kanak merupakan proses berterusan dan mencapai tahap matang pada usia lapan tahun.

“Jika berlaku sesuatu (kecederaan) semasa usia itu, ia akan menjejaskan peluang perkembangan penglihatan yang normal,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia kesedaran dan pengetahuan mengenai aspek kesihatan mata masih rendah berbanding aspek kesihatan lain.

“Yang selalu dibimbangkan oleh ibu bapa ialah sama ada anak-anak dapat membaca atau tidak, tetapi soal organ (mata) (untuk membaca) kita tidak pernah tekankan, sama ada ia dalam keadaan baik atau tidak,” katanya.

Beliau berkata masyarakat, terutama ibu bapa dan pengasuh kanak-kanak, perlu lebih peka terhadap perkembangan penglihatan kanak-kanak agar dapat mengesan sebarang risiko penyakit berkaitan mata dengan lebih cepat.

“Di Amerika Syarikat dan England misalnya, prasyarat untuk masuk ke pusat jagaan kanak-kanak ialah kanak-kanak itu wajib menjalani pemeriksaan mata selewat-lewatnya pada usia tiga tahun.

“Tetapi di Malaysia, walaupun kita ada Sistem Perkhidmatan Kesihatan di Sekolah, tetapi biasanya pemeriksaan mata hanya dilakukan pada usia tujuh tahun, ketika ‘pintu dah nak tutup’ (terlalu lambat berdasarkan perkembangan penglihatan yang hampir matang),” katanya.

Antara permasalahan mata di kalangan kanak-kanak ialah rabun jauh, rabun dekat, astigmatisme (gangguan penglihatan disebabkan kornea yang ‘menggeleding’), juling, buta warna, mata malas (ambliopia), katarak dan mata merah. BERNAMA

Popularity: 6% [?]

  • Tentukan anda mendapat suntikan rubella 3 bulan sebelum hamil, sekiranya belum pernah terkena rubella.
  • Elakkan daripada mencuci najis kucing kerana risiko penyakit toxoplasmosis. Jangkitan ini boleh membawa kepada masalah kecacatan penglihatan dan otak
  • Elakkan memakan makanan laut mentah atau kurang masak, keju lembut ( soft cheese).
  • Hindari daripada merokok atau berada dalam tempat yang mempunyai asap rokok serta mengambil alkohol. Asap rokok dan alkohol boleh membantutkan pertumbuhan janin dan menyebabkan kerosakan otak
  • Ambil asid folik sebelum hamil untuk mengurangkan risiko masalah ‘spina bifida’ pada janin.
  • Elakkan daripada mengambil sebarang ubat sama ada antibiotik ataupun ubatan tradisional tanpa nasihat doktor.
  • Tentukan anda mendapat nasihat serta rawatan susulan yang rapi daripada pakar sakit puan sekiranya ingin hamil selepas umur 35 tahun.
  • Popularity: 12% [?]