Asli atau tiruan? Lazimnya kebanyakan orang tanpa ragu-ragu akan memilih yang asli.

Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang merelakan susu formula iaitu barang tiruan menjadi makanan pertama anak mereka.

Mengapa susu formula atau susu tiruan ini dikecualikan sedangkan masyarakat sedar walau sebaik manapun sesuatu barang tiruan, ia tidak akan sebaik barangan asli?

Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu menggalakkan semua ibu menyusukan anaknya dengan susu ibu sahaja selama enam bulan atau dikenali sebagai penyusuan eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun. Makanan tambahan pula hanya dimulakan semasa anak berumur enam bulan.

Kebanyakan ibu hanya mampu menyusukan anak mereka sehingga dua bulan atau sepanjang tempoh berpantang dan apabila mereka kembali bekerja, ramai yang mengambil jalan mudah dengan memberikan susu formula.

Ada juga segelintir wanita yang baru bersalin langsung tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka sejak dilahirkan walaupun menyedari susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.

Menurut perangkaan 88.6 peratus ibu-ibu di Malaysia pernah menyusukan anak. Ini bermakna 11.4 peratus ibu tidak pernah menyusukan anak mereka!

Daripada 88.6 peratus ibu yang pernah memberikan susu, hanya 29 peratus yang mampu menyusukan bayi mereka secara eksklusif dan hanya 11.7 peratus yang menyambung penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun.

KEBAIKAN SUSU IBU

Menurut Penolong Pengarah Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Siti Mariam Ali, susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi.

Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi dari penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran.

“Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi tersebut. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan,” katanya kepada Bernama.

Katanya susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum yang berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan.

Antaranya ialah mengeluarkan mekonium (najis bayi di awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi dari jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus sekaligus mencegah alahan dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus.

“Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan tersebut boleh merosakkan ususnya dan menyebabkan alahan,” katanya.

Selain itu susu ibu juga melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis, dan cirit-birit.

Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari.

Selain itu susu ibu turut mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

FAEDAH TERSEMBUNYI

Terdapat banyak faedah lain yang diperolehi oleh bayi, ibu, keluarga mahupun masyarakat.

Mungkin kebaikan-kebaikan ini nampak remeh tetapi ia sebenarnya memberikan kesan kepada kehidupan kita seharian.

“Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu.

“Bayi yang menyusu ibu akan jarang dijangkiti penyakit, membolehkan ibu bapa bekerja dengan senang hati tanpa perlu mengambil cuti untuk menjaga anak yang tidak sihat, selain meningkatkan produktiviti,” kata Siti Mariam.

Menyusukan bayi juga turut memberikan faedah kepada ibu tersebut dengan merendahkan risiko terhadap barah payudara dan ovari, mengelakkan pendarahan selepas bersalin, menjarakkan kelahiran kerana penyusuan merupakan cara perancang keluarga semulajadi, mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut.

Penyusuan susu ibu juga akan menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan untuk rawatan perubatan kerana bayi yang menyusu ibu jarang sakit.

“Katakan anda memilih untuk membeli pam pemerah susu yang mahal, kos pembelian itu masih murah dibandingkan dengan kos untuk susu formula yang perlu dibeli setiap bulan.

“Pam yang menggunakan bateri walaupun berharga lebih kurang RM200, boleh digunakan sehingga dua atau tiga tahun. Jika susu formula, setin berharga lebih kurang RM30. Berapa jumlahnya sebulan? Berapa yang boleh dijimatkan dalam setahun?” katanya.

Selain itu, penyusuan susu ibu juga membantu mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu, lebih masa terluang bersama keluarga, dan menyumbang kepada objektif negara dalam perancangan keluarga.

KEKURANGAN SUSU FORMULA

Antara kekurangan ketara susu formula ialah khasiatnya tidak akan sama dengan khasiat susu ibu walaupun pelbagai zat tambahan dimasukkan seperti Omega3, Docosahexanoic (DHA), Arachidonic acid (AA), dan vitamin B12.

“Masih tidak ada kajian yang boleh menentukan kadar sebenar sesuatu zat yang diperlukan oleh bayi. Berbeza dengan susu ibu, kandungan zatnya akan berubah mengikut keperluan,” katanya.

Zat-zat tambahan dalam susu formula juga membawa kesan sampingan lain seperti protein, walaupun ia telah diubah tetapi masih sukar dihadam manakala zat besi pula sukar untuk diserap, katanya.

Bayi yang diberikan susu formula juga terdedah kepada pencemaran bakteria apabila air bancuhan, peralatan botol dan puting tidak dibersihkan dengan sempurna.

“Bakteria membiak dengan cepat terutamanya jika susu dibiarkan dalam cuaca panas. Walaupun belum berbau masam atau basi, ia masih boleh membahayakan bayi,” katanya.

Bayi juga tidak mendapat perlindungan daripada pelbagai penyakit kerana susu formula tidak mengandungi antibodi menyebabkan bayi yang diberi susu formula lebih kerap mendapat jangkitan penyakit seperti cirit-birit, demam, selesema, batuk dan alahan walaupun susunya dibuat secara bersih.

Terdapat juga risiko kekurangan zat makanan jika susu dibancuh terlalu cair ataupun jika dibancuh terlalu pekat, ia boleh mengakibatkan sembelit atau kerosakan pada organ tertentu.

“Sebab itu kita melihat ramai bayi yang mengalami kegemukan, mereka mendapat lebih zat daripada sepatutnya,” kata Siti Mariam.

Berbeza dengan susu ibu, susu formula juga tidak mengandungi enzim. Ini melambatkan penghadaman dan menyukarkan tenaga dibekalkan kepada bayi.

BAHAYA AIR

Selain susu formula, kebanyakan ibu bapa juga cenderung untuk memberikan air kepada bayi mereka dengan alasan mengelakkan bayi daripada haus, badan panas, sembelit atau untuk mencuci mulut bayi.

Siti Mariam berkata alasan-alasan tersebut adalah tidak berasas kerana susu ibu mengandungi 88 peratus air dan bayi yang hanya diberikan susu ibu dijamin akan mendapat cukup air.

Amalan memberikan air kepada bayi sebenarnya boleh mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko termasuk merencatkan tumbesaran dan akal, mengancam nyawa serta mengakibatkan sawan tarik.

“Perut bayi yang baru lahir hanya memerlukan empat sudu kecil kolosterum (2ml) dan jumlah ini akan meningkat kepada 40 sudu (200ml) hanya setelah bayi menjangkau umur setahun,” katanya.

Oleh itu tumbesaran bayi yang diberikan air akan terencat kerana perutnya yang kecil itu sepatutnya diisi dengan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat untuk membantu tumbesarannya.

Air juga boleh menjadi pembawa kuman kerana pencemaran boleh berlaku di pelbagai peringkat sama ada sumber air atau bekas yang tidak bersih. Ini akan mendedahkan bayi kepada cirit-birit.

Air juga akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai jangkitan.

Bagi bayi yang mengidap jaundis, air yang terlalu banyak boleh merencatkan akal manakala bagi yang berumur di bawah lima minggu, air yang terlalu banyak akan mencairkan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan yang rendah, kembung atau sawan tarik.

Sumber: BERNAMA

Popularity: 63% [?]

Bilik air boleh membawa duka 

KES kanak-kanak lemas dalam baldi di bilik air harus dijadikan iktibar kepada ibu bapa. Ini kerana bilik air boleh menjadi tempat berbahaya jika dibiarkan kanak-kanak bawah usia enam tahun bermain atau mandi sendirian kerana mereka boleh lemas atau jatuh kerana licin.
Berikut adalah panduan keselamatan di bilik air:

  • Pastikan jubin bilik mandi jenis tidak licin. Banyak kecederaan patah tulang dan terseliuh disebabkan terjatuh.
  • Pastikan semua tempat simpanan air ditutup selepas digunakan kerana kanak-kanak boleh terjatuh ke dalamnya dan lemas. Mereka boleh lemas di dalam air yang sedikit di dalam baldi, walaupun ia hanya sedalam 15 - 30 sentimeter.
  • Bayi dan kanak-kanak kecil yang dimandikan tidak boleh ditinggalkan sendirian, walaupun sekejap. Mereka mungkin jatuh tertonggeng dan lemas. Bawa bayi anda bersama jika anda terpaksa mengalih perhatian kepada sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa.
  • Jangan sekali-kali mandikan anak kecil di dalam sinki kerana ini boleh menyebabkan kepala mereka terhantuk pada tepi sinki dan akan berlaku retak tempurung kepala atau pendarahan otak.
  • Kanak-kanak harus dimandikan di dalam besen di atas lantai supaya mereka tidak mudah jatuh.
  • Sumber:Berita Harian 

    Popularity: 56% [?]

    Posted in Kisah Pengajaran at 10:50 pm | (No Comments)

    PASIR PUTEH: Barangan terbuang boleh membahayakan kanak-kanak. Itulah terjadi kepada Norafah Amalina Azmi, 5, yang maut apabila lehernya tersepit pada besi kaki meja lipat yang dibuang keluarganya berdekatan rumah mereka.

    Dia sebelum itu bermain `pondok-pondok’ menggunakan meja itu bersama sepupu, Nor Widak Akilah Azhar, 2, kira-kira tiga meter dari rumahnya di Kampung Alor Hijau, dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

    Nenek mangsa, Che Zaharah Abdullah, 64, berkata arwah sering bermain `pondok-pondok’ bersama beberapa sepupu menggunakan peralatan terbuang, termasuk meja makan plastik itu yang diterbalikkan kakinya ke atas.

    Katanya, meja itu memang sudah lama dibuang tetapi diletakkan berhampiran rumah dan tidak menyangka mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

    “Saya percaya arwah berada di atas meja itu sebelum tertendang kaki meja itu menyebabkan besi penghadangnya terjungkit dan terkena lehernya.

    “Arwah mungkin terjatuh dan tak berjaya melepaskan besi yang tersangkut pada lehernya sebelum rebah dan mencengkam lehernya sehingga sukar bernafas,” katanya ketika ditemui, semalam.

    Che Zaharah berkata, Nor Widak Akilah, anak keenam daripada tujuh beradik, mungkin cuba melepaskan diri tetapi akibat meronta-ronta mungkin menyebabkan besi di lehernya makin mencengkam sehingga sesak nafas.

    “Kejadian disedari sepupunya, Norsabrina Azhar, 8, selepas mendapati Norafah terbaring dan seolah-olah tidur lalu bergegas memberitahu kakak mangsa, Norzahra Shafiqah, 11, yang ketika itu di dalam rumah bersama mak cik.

    “Norzahra yang terkejut kemudian keluar dan mendapati adiknya tidak sedarkan diri sebelum memberikan pertolongan, ” katanya.

    Tindakan itu gagal sebelum meminta bantuan nenek mereka yang kemudian menarik Norafah.

    “Saya meminta bantuan jiran menghantar arwah ke Klinik Kesihatan Selising tapi dia meninggal dunia sebaik tiba di klinik itu,” katanya.

    Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa, Azmi tiada di rumah, manakala ibunya, Ramlah Ismail, 40, masih berpantang di rumah.

    Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis dekat sini, kira-kira jam 9 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Hijau, petang semalam.

    Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 6 petang, sebelum ke rumah mangsa.

    Beliau berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, polis menjalankan siasatan dan mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat tersangkut besi kaki meja lipat ketika bermain bersama sepupunya.

    “Kami masih menjalankan siasatan dan mengklasifikasikan mangsa mati mengejut,” katanya.

    Sumber: Forwarded Email 

    Popularity: 36% [?]