Posted in Info Kehamilan at 12:32 pm | (No Comments)

info kehamilan

Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kandungan. Ia berkait dengan sejenis parasit iaitu protozoa Toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan tanah.

Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui - toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada bayi di alam kandungan.

info kehamilan

Ibu yang mengandung boleh mendapat jangkitan apabila menyentuh najis kucing. Jangkitan ini boleh juga timbul akibat memakan masakan yang tidak dimasak dengan sempurna.

Wanita yang mula-mula mendapat jangkitan toksoplasmosis semasa mengandung mempunyai lebih kurang 40 peratus peluang memindahkan jangkitan tersebut kepada bayi di dalam kandungannya.

Apabila ibu dijangkiti dalam trimester (kehamilan berusia tiga bulan) pertama, sebanyak 15 peratus daripada bayi mereka turut dijangkiti berbanding 30 peratus semasa trimester kedua dan 60 peratus trimester ketiga.

Kesan akibat jangkitan adalah lebih teruk jika ia berlaku di peringkat awal mengandung. Adalah dianggarkan, satu dalam 10 daripada bayi yang dijangkiti mengalami toksoplasmosis yang teruk.

Mereka mendapat jangkitan mata yang boleh menyebabkan buta, pembengkakan hati dan limpa, penyakit kuning dan jangkitan paru- paru. Sebahagian mereka mengalami kehilangan deria pendengaran.

Janin yang mengalami jangkitan toksoplasmosis yang terlalu teruk boleh meninggal dunia semasa dalam kandungan atau ibu mengalami keguguran. Jika dilahirkan hidup, mereka akan menderita kecacatan otak seperti palsi serebral dan sawan.

Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini.

Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosentesis dan ultrasound dilakukan untuk memastikan sama ada bayi dalam kandungan juga telah dijangkiti.

Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala-gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan. Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan.

Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar bayi-bayi yang tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan tidak akan tercicir daripada menerima rawatan khusus, jika mereka sebenarnya juga telah dijangkiti.

Ini kerana mereka mungkin dianggap sihat sehinggalah mereka mendapat jangkitan mata dan sebagainya setelah berusia beberapa bulan mahu pun beberapa tahun selepas dilahirkan.

Oleh kerana toksoplasmosis merupakan penyakit jangkitan yang boleh menjejaskan kesihatan bayi dengan serius, langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya:

* Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan
* Mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak
* Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan
* Menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing.

Sebaik-baiknya, elakkanlah daripada membela kucing semasa mengandung, tetapi jika ini amat sukar untuk dilakukan, hendaklah berhati-hati dan mempraktikkan langkahlangkah pencegahan seperti di atas agar risiko jangkitan berada pada tahap minimum.

Soalan dijawab oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Kamsuraini Ibrahim.

Sumber:Utusan Malaysia

Popularity: 30% [?]

Posted in Info Kehamilan at 1:12 pm | Comments (1)

Hanya sekadar panduan untuk kaum wanita.

Pakar Sakit Puan bersama DR ADILAH AHMAT, Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan, Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

SOALAN

Isteri saya hamil anak kami yang kedua. Ketika pemeriksaan di klinik, jururawat mengatakan isteri saya ada tanda sawan mengandung.

Apakah yang dimaksudkan dengan sawan mengandung? Bagaimana cara untuk mengatasinya?

Mengenai isteri saya, dia mula hamil dengan berat badan 45 kilogram (kg). Selepas alahan tiga bulan, beratnya menurun kepada 39 kg. Kemudian, beratnya naik semula dua kilogram setiap bulan dan kini, kandungannya mencapai tujuh bulan dan berat isteri saya 51 kg.

Jururawat menyatakan berat isteri saya naik mendadak justeru dia menyarankan isteri saya mengurangkan berat badan. Jika tidak, kemungkinan isteri saya akan mengalami kekejangan ketika melahirkan anak.

Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

SUAMI RISAU,
Ipoh, Perak.

JAWAPAN

Sawan mengandung (eklampsia) sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi. Risiko ini lebih kepada ibu yang kali pertama hamil, ibu yang pernah mengalami penyakit darah tinggi sewaktu kehamilan terdahulu atau ibu yang hamil kali pertama dengan suami baru.

Penyakit darah tinggi termasuk dalam kehamilan berisiko tinggi dan sawan mengandung adalah suatu yang serius.

Bagi wanita yang mempunyai berat badan 45 kg sebelum hamil, penambahan berat badan sebanyak 11 hingga 12 kg sepanjang kehamilan adalah sesuatu yang normal.

Sewaktu trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan), berat badan wanita hamil boleh menurun akibat kurang selera makan serta muntah-muntah. Memasuki trimester kedua (bulan keempat) dan seterusnya, berat badan wanita hamil semakin pulih dan dijangka bertambah sekitar setengah kg setiap minggu (iaitu dua kg setiap bulan).

Pemeriksaan antenatal seharusnya dilakukan mengikut jadual iaitu setiap empat minggu sehingga kandungan berusia 28 minggu (enam setengah bulan), kemudian setiap dua minggu sehingga kandungan berusia 36 minggu (lapan setengah bulan) dan seterusnya setiap minggu sehingga bersalin.

Sewaktu lawatan ini, kehadiran protein dalam air kencing serta pengambilan tekanan darah juga dilakukan, ia dikaitkan dengan penyakit darah tinggi. Pemeriksaan selanjutnya akan dilakukan jika kedua-duanya tidak normal.

Ini termasuk pemeriksaan tekanan darah secara lebih kerap, ujian darah, ujian air kencing terkumpul 24 jam dan seumpamanya. Bagi janin, ultrabunyi dilakukan bagi mengesan kadar pembesaran janin, kekurangan air ketuban serta gangguan aliran darah melalui tali pusat.

Wanita yang mengalami penyakit ini lazimnya turut mengalami penambahan berat badan berlebihan namun ia tidak semestinya. Sawan mengandung juga didapati pada wanita berbadan kurus. Berat badan tidak menyebabkan penyakit darah tinggi, menurunkan berat badan juga tidak mengurangkan tekanan darah.

Isteri anda dinasihati menjalani pemeriksaan antenatal secara dijadualkan bagi mengesan penyakit berkaitan.

Sumber: Forwarded Email

Popularity: 9% [?]

Sewaktu kebanyakan kita melalui zaman kanak-kanak, istilah sakit kepala tidak pernah wujud. Tetapi hari ini, anak-anak sering mengadu sakit kepala. Malah, bukan sesuatu yang luar biasa apabila seorang kanak-kanak mengunjungi pakar tiga kali sebulan kerana sakit kepala.

Sakit kepala masalah yang sangat biasa dan dialami semua orang. Tetapi, sakit kepala di kalangan kanak-kanak yang belum pandai bercakap tentunya lebih meresahkan ibu bapa dan anak itu sendiri.

Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Roliza Ibrahim, berkata bukan saja kanak-kanak berusia setahun ke atas mengalami sakit kepala, malah bayi.

“Bayi akan memberitahu sakitnya dengan menangis dan merengek. Tetapi jika berusia lebih setahun, dia mungkin memberitahu kesakitannya dengan menggosokkan mata, menarik rambut atau memukul kepala sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, kanak-kanak juga suka berlakon. Jika dia pernah sakit kepala sekali atau mendengarnya daripada kawan-kawan, setiap kali mengalami kesakitan dia akan mengatakan dia sakit kepala walaupun sebenarnya tidak.

Justeru, ibu bapa harus tahu dengan pasti, adakah anak sememangnya sakit kepala atau sekadar berlakon. Cara pa ling mudah, anda tanya anak bagaimana rasa sakit yang dialaminya?

Biasanya kanak-kanak yang benar-benar mengalami sakit kepala akan memberitahu kepalanya terasa berdenyut-denyut, diikuti muntah dan jika sakit kepalanya sangat kuat, dia tidak boleh bangun. Sakit kepala ada beberapa jenis.

Biasanya kebanyakan kanak-kanak mengalami sakit kepala disebabkan masalah tekanan dan sakit kepala kerana masalah migrain. Selain itu masalah penglihatan dan resdung juga menyebabkan sakit kepala. Jika diserang demam denggi juga boleh sakit kepala.

“Ada juga kes sakit kepala sebenarnya simptom terhadap penyakit lain. Misalnya ketumbuhan dalam otak atau meningitis. Kanak-kanak ini biasanya sakit kepala dan muntah. Tetapi ia kes yang sangat jarang berlaku,” katanya.

Secara umum, sakit kepala yang di alami kanak-kanak adalah sakit kepala disebabkan tekanan dan migrain. Dr Roliza berkata, sakit kepala disebabkan tekanan biasanya mudah sembuh jika punca tekanan itu dapat dikenal pasti.

“Misalnya, anak kita berasa tertekan setiap kali hendak ke sekolah. Jika perhatikan, pada hari cuti dia tidak pula sakit kepala,” katanya.

Beliau berkata, kadangkala apabila diserang sakit kepala, anak lebih selesa bersendirian dalam bilik gelap dan se nyap untuk melegakan kesakitan.

Cahaya lampu hanya akan menambahkan kesakitan. Jika itu berlaku ibu bapa harus memahami keada an anak.

Sakit kepala disebabkan migrain pula biasanya diwarisi daripada keluarga. Jika ibu bapa adalah pesakit migrain, anak-anak juga berisiko berhadapan masalah sama.

Sakit kepala disebabkan migrain terbahagi kepada dua jenis, ‘common migrain’ dan ‘classical migrain’.

‘Classical migrain’ adalah sakit kepala yang disertai amaran iaitu aura.

Aura adalah gangguan visual yang menyebabkan seseorang itu terasa disuluh dengan cahaya. Sakit kepala jenis ini berlaku dalam kepala.

‘Common migrain’ pula sakit kepala yang tidak disertai aura. Sakitnya itu terjadi di sebelah bahagian kepala saja.

Common migrain tidak begitu sakit, tetapi berpanjangan. Biasanya keadaan ini dicetuskan pelbagai faktor seperti makanan, tekanan atau melakukan aktiviti fizikal terlalu lasak.

“Sakit kepala boleh diubat dengan mudah dengan hanya mengambil panadol, tetapi dos yang diberikan mestilah sesuai dengan usia dan berat badan kanak-kanak itu. Jika sakit kepala terlalu kerap menyerang dan mengganggu pelajaran, pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan harus dibuat,” katanya.

FAKTA

Sakit kepala

  • Kebanyakan sakit kepala berlaku di luar tengkorak, dalam saraf, salur darah dan otot yang melindungi kepala dan tengkuk.
  • Otot atau salur darah boleh bengkak, sempit atau melalui perubahan yang menstimulasi atau memberi tekanan pada saraf keliling.
  • Migrain

  • Saraf ini menghantar mesej rasa sakit kepada otak yang menyebabkan sakit kepala.
  • Disebabkan tekanan dan ketegangan fikiran.
  • Oleh sebab salur darah di bawah kulit kepala berkembang, menyebabkan serat saraf yang ada kaitan dengannya membengkak serta mengeluarkan bahan kimia rasa sakit.
  • Membabitkan sistem saraf automatik sehingga menyebabkan pesakit berasa loya, muntah, cirit, seram sejuk, kabur penglihatan dan lebihan sensitiviti kepada cahaya dan bunyi.
  • Biasanya diwarisi dalam keluarga.Tanda migrain
  • Sakit kepala (di sebelah atau kedua-dua belah kepala).
  • Sakit berdenyut.
  • Semakin sakit jika melakukan sebarang aktiviti.
  • Rasa mual yang mungkin diikuti dengan muntah.
  • Sensitif pada cahaya dan bunyi.
  • Jika tidak dirawat, ia boleh berlanjutan empat hingga 72 jam (berbeza antara individu).
  • Serangan mungkin berlaku beberapa kali sebulan atau hanya sekali setahun.
  • Sumber: Berita Harian

    Popularity: 9% [?]