info kesihatan

Penyakit refluks gastroesofagus menyebabkan gejala seperti pedih ulu hati, sakit dada.

Mungkin sebilangan daripada kita percaya bahawa gastroesophageal reflux disease (GERD) adalah masalah orang dewasa. Sebenarnya, kanak-kanak dan bayi juga berhadapan dengan masalah ini.

Malah, ia bukan luar biasa untuk bayi yang baru dilahirkan mengalami muntah atau muak selepas penyusuan selain batuk dan masalah pernafasan.

Hampir 85 peratus bayi mengalaminya dalam masa seminggu selepas kelahiran manakala, separuh daripada bayi mengalaminya dalam tempoh tiga bulan pertama usia mereka.

GERD atau penyakit refluks gastroesofagus menjelaskan mengenai aliran ke belakang (refluks) jus asid perut yang digunakan untuk mencerna makanan ke dalam esofagus (tiub yang membawa makanan daripada mulut ke perut) yang menyebabkan gejala seperti pedih ulu hati dan sakit dada.

Keadaan ini terjadi kerana injap otot di bawah esofagus (lower esophageal sphincter-LES) gagal berfungsi sebaiknya. Pada sesetengah orang GERD dikaitkan dengan masalah saluran esofagus di bahagian bawah LES, otot serat yang selalunya menutup esofagus daripada perut. Jika ia tidak ditutup dengan sempurna, makanan dan cecair boleh kembali semula ke dalam esofagus dan menyebabkan kesakitan, keradangan dan kadang kala ulser.

Di kalangan bayi pula, antara 1:300 hingga 1:1000 mempunyai simptom reflux yang signifikan. Ia biasanya dise­babkan pembentukan LES yang belum sempurna.

Pakar Perunding Kanak-Kanak, Darul Ehsan Medical Centre, Dr Fadzillah Ghazali, berkata di kalangan kanak-kanak, masalah reflux semakin berkura­ngan apabila umur semakin meningkat.

Begitupun, ada beberapa sebab lagi yang menyebabkan terjadinya reflux di kalangan kanak-kanak. Antaranya, kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah saraf seperti Cerebral Palsy, lambat perkembangan dan sindrom down.

Selain itu, ia juga boleh terjadi di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan kronik seperti asma, kedudukan LES yang lebih banyak pada bahagian abdomen dan sudut penyambungan saluran makanan ke bahagian perut lebih ke atas.

Meskipun reflux boleh sembuh dengan sendirinya seiring peningkatan usia kanak-kanak itu tetapi ada juga kanak-kanak yang memerlukan rawatan lebih intensif.

Justeru, sebagai ibu bapa anda perlu perhatikan beberapa simptom yang signifikan.

Dr Fadzillah berkata, rawatan untuk masalah ini dibahagikan kepada bebe­rapa jenis dan jika ia bersifat sedikit (mild reflux) biasanya doktor akan memberi penerangan serta jaminan kepada ibu bapa.

“Ia lebih menjurus kepada nasihat mengenai posisi dan penyusuan atau pemakanan,” katanya.

Beliau berkata, jika reflux itu bersifat sederhana (moderate reflux) biasanya doktor akan memberi nasihat daripada sudut pemberian makanan. Misalnya bancuhan susu lebih pekat atau menggunakan susu formula khas untuk masalah ini.

Katanya, sekiranya reflux tidak terkawal dengan ubat-ubatan, biasanya pembedahan untuk menguatkan LES dilakukan.

INFO: Simptom yang signifikan

  • Berat badan tidak bertambah seperti yang sepatutnya.
  • Batuk berpanjangan dan kelihatan termengah-mengah.
  • Jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) berulang.
  • Tanda oesophagitis (radang esofagus disebabkan rembesan asid berterusan daripada perut).
  • Darah dalam muntah dan najis.
  • Anaemia.
  • Sakit ulu hati (heartburn).
  • Kesukaran menelan makanan.
  • Pembentukan ulcer.
  • Sumber:Berita Harian

    Popularity: 20% [?]

    Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • co.mments
    • connotea
    • del.icio.us
    • digg
    • Fark
    • feedmelinks
    • Furl
    • LinkaGoGo
    • NewsVine
    • Netvouz
    • RawSugar
    • scuttle
    • Shadows
    • Simpy
    • Smarking
    • Spurl
    • Wists
    • YahooMyWeb

    Sewaktu kebanyakan kita melalui zaman kanak-kanak, istilah sakit kepala tidak pernah wujud. Tetapi hari ini, anak-anak sering mengadu sakit kepala. Malah, bukan sesuatu yang luar biasa apabila seorang kanak-kanak mengunjungi pakar tiga kali sebulan kerana sakit kepala.

    Sakit kepala masalah yang sangat biasa dan dialami semua orang. Tetapi, sakit kepala di kalangan kanak-kanak yang belum pandai bercakap tentunya lebih meresahkan ibu bapa dan anak itu sendiri.

    Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Roliza Ibrahim, berkata bukan saja kanak-kanak berusia setahun ke atas mengalami sakit kepala, malah bayi.

    “Bayi akan memberitahu sakitnya dengan menangis dan merengek. Tetapi jika berusia lebih setahun, dia mungkin memberitahu kesakitannya dengan menggosokkan mata, menarik rambut atau memukul kepala sendiri,” katanya.

    Bagaimanapun, kanak-kanak juga suka berlakon. Jika dia pernah sakit kepala sekali atau mendengarnya daripada kawan-kawan, setiap kali mengalami kesakitan dia akan mengatakan dia sakit kepala walaupun sebenarnya tidak.

    Justeru, ibu bapa harus tahu dengan pasti, adakah anak sememangnya sakit kepala atau sekadar berlakon. Cara pa ling mudah, anda tanya anak bagaimana rasa sakit yang dialaminya?

    Biasanya kanak-kanak yang benar-benar mengalami sakit kepala akan memberitahu kepalanya terasa berdenyut-denyut, diikuti muntah dan jika sakit kepalanya sangat kuat, dia tidak boleh bangun. Sakit kepala ada beberapa jenis.

    Biasanya kebanyakan kanak-kanak mengalami sakit kepala disebabkan masalah tekanan dan sakit kepala kerana masalah migrain. Selain itu masalah penglihatan dan resdung juga menyebabkan sakit kepala. Jika diserang demam denggi juga boleh sakit kepala.

    “Ada juga kes sakit kepala sebenarnya simptom terhadap penyakit lain. Misalnya ketumbuhan dalam otak atau meningitis. Kanak-kanak ini biasanya sakit kepala dan muntah. Tetapi ia kes yang sangat jarang berlaku,” katanya.

    Secara umum, sakit kepala yang di alami kanak-kanak adalah sakit kepala disebabkan tekanan dan migrain. Dr Roliza berkata, sakit kepala disebabkan tekanan biasanya mudah sembuh jika punca tekanan itu dapat dikenal pasti.

    “Misalnya, anak kita berasa tertekan setiap kali hendak ke sekolah. Jika perhatikan, pada hari cuti dia tidak pula sakit kepala,” katanya.

    Beliau berkata, kadangkala apabila diserang sakit kepala, anak lebih selesa bersendirian dalam bilik gelap dan se nyap untuk melegakan kesakitan.

    Cahaya lampu hanya akan menambahkan kesakitan. Jika itu berlaku ibu bapa harus memahami keada an anak.

    Sakit kepala disebabkan migrain pula biasanya diwarisi daripada keluarga. Jika ibu bapa adalah pesakit migrain, anak-anak juga berisiko berhadapan masalah sama.

    Sakit kepala disebabkan migrain terbahagi kepada dua jenis, ‘common migrain’ dan ‘classical migrain’.

    ‘Classical migrain’ adalah sakit kepala yang disertai amaran iaitu aura.

    Aura adalah gangguan visual yang menyebabkan seseorang itu terasa disuluh dengan cahaya. Sakit kepala jenis ini berlaku dalam kepala.

    ‘Common migrain’ pula sakit kepala yang tidak disertai aura. Sakitnya itu terjadi di sebelah bahagian kepala saja.

    Common migrain tidak begitu sakit, tetapi berpanjangan. Biasanya keadaan ini dicetuskan pelbagai faktor seperti makanan, tekanan atau melakukan aktiviti fizikal terlalu lasak.

    “Sakit kepala boleh diubat dengan mudah dengan hanya mengambil panadol, tetapi dos yang diberikan mestilah sesuai dengan usia dan berat badan kanak-kanak itu. Jika sakit kepala terlalu kerap menyerang dan mengganggu pelajaran, pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan harus dibuat,” katanya.

    FAKTA

    Sakit kepala

  • Kebanyakan sakit kepala berlaku di luar tengkorak, dalam saraf, salur darah dan otot yang melindungi kepala dan tengkuk.
  • Otot atau salur darah boleh bengkak, sempit atau melalui perubahan yang menstimulasi atau memberi tekanan pada saraf keliling.
  • Migrain

  • Saraf ini menghantar mesej rasa sakit kepada otak yang menyebabkan sakit kepala.
  • Disebabkan tekanan dan ketegangan fikiran.
  • Oleh sebab salur darah di bawah kulit kepala berkembang, menyebabkan serat saraf yang ada kaitan dengannya membengkak serta mengeluarkan bahan kimia rasa sakit.
  • Membabitkan sistem saraf automatik sehingga menyebabkan pesakit berasa loya, muntah, cirit, seram sejuk, kabur penglihatan dan lebihan sensitiviti kepada cahaya dan bunyi.
  • Biasanya diwarisi dalam keluarga.Tanda migrain
  • Sakit kepala (di sebelah atau kedua-dua belah kepala).
  • Sakit berdenyut.
  • Semakin sakit jika melakukan sebarang aktiviti.
  • Rasa mual yang mungkin diikuti dengan muntah.
  • Sensitif pada cahaya dan bunyi.
  • Jika tidak dirawat, ia boleh berlanjutan empat hingga 72 jam (berbeza antara individu).
  • Serangan mungkin berlaku beberapa kali sebulan atau hanya sekali setahun.
  • Sumber: Berita Harian

    Popularity: 9% [?]

    Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • co.mments
    • connotea
    • del.icio.us
    • digg
    • Fark
    • feedmelinks
    • Furl
    • LinkaGoGo
    • NewsVine
    • Netvouz
    • RawSugar
    • scuttle
    • Shadows
    • Simpy
    • Smarking
    • Spurl
    • Wists
    • YahooMyWeb

    Ada bayi yang dikesan hadapi masalah jantung sejurus dilahirkan dan ada selepas berusia beberapa minggu atau bulan.

    Bayi baru lahir yang dalam keadaan kebiru-biruan selalu dikaitkan dengan masalah jantung berlubang. Sebenarnya permasalahan jantung bagi bayi dan kanak-kanak lebih besar.

    Walaupun memang warna bayi yang kebiru-biruan atau pucat membawa tanda masalah jantung tetapi ada juga bayi kelihatan sihat tetapi kemudiannya dikesan berhadapan masalah jantung.

    Ada dua jenis masalah jantung yang dihadapi bayi; lahir dengan masalah jantung dan satu lagi keadaan, dikesan mendapat masalah jantung apabila sudah berusia beberapa minggu atau bulan.

    Bayi yang berhadapan dengan keadaan berwarna biru atau pucat dikaitkan dengan masalah ‘tetralogy of fallot’. Bayi itu berhadapan dengan masalah jantung yang dinamakan ‘congenital heart defects’ atau masalah jantung konjenital. Ia adalah kecacatan bentuk jantung atau adanya saluran darah yang besar berdekatan jantung. Perkataan ‘konjenital’ itu bermaksud, ‘lahir dengannya’ atau ‘sejak lahir’.

    Secara umum ada dua jenis masalah jantung konjenital. Perunding Kardiologis Kanak-kanak, Dr Azam Mohd Noor berkata, kecacatan itu biasanya disebabkan ‘septal defects’ atau lubang antara dinding kiri dan kanan laluan darah antara dua bahagian jantung, manakala satu lagi dikenali sebagai ‘patent ductus arteriosus’ atau salur darah yang terbuka antara aorta dan arteri pulmonari yang tidak tertutup selepas lahir sebagaimana sepatutnya. Keadaan ini akan membuatkan terlalu banyak darah mengalir ke paru-paru.

    “Itu antara dua keadaan yang umum tetapi ada banyak lagi jenis kecacatan jantung misalnya masalah seperti tidak bersambung, tersalah letak duduk arteri, injap tidak terbentuk dan salur darah tersekat atau sempit,” katanya.

    Masalah jantung bayi juga ada yang boleh dikesan sejak lahir. Tetapi dalam sesetengah kes seperti membabitkan sempitan pada urat besar yang membawa darah dari jantung, ia tidak akan kelihatan untuk beberapa tahun dan beberapa perubahan bahaya pada tubuh (lesions) seperti sedikit kecacatan pada ventrikal mungkin tidak menunjukkan masalah.

    “Malah, ada bayi yang sejak lahir kelihatan sihat, tetapi apabila usianya masuk empat ke lima minggu, mula menunjukkan tanda-tanda masalah jantung. Antaranya kelihatan penat seperti orang berlari marathon. Ketika menyusu, dia nampak penat, berpeluh-peluh. Begitu juga apabila sudah pandai berjalan, dia akan cepat penat,” katanya.

    Dilihat dari sudut lebih global, masalah jantung konjenital sebenarnya tidak terlalu menakutkan daripada pandangan statistik. Di Amerika, hanya lapan daripada setiap 1,000 kelahiran berhadapan dengan masalah ini. Di Malaysia pula hanya mencatatkan empat kes dalam 1,000 kelahiran tetapi jumlah ini semakin bertambah setiap tahun. Ia sesuatu yang sepatutnya diberikan perhatian kerana membabitkan kos pembedahan sangat mahal bagi sesetengah kes.

    “Bukan semua kes masalah jantung konjenital ini memerlukan pembedahan tetapi jika itu yang diperlukan, di hospital swasta kosnya mencapai antara RM20,000 hingga RM25,000 dan tidak dilindungi insurans. Jika di hospital kerajaan, hanya Institut Jantung Negara menawarkan pilihan pembedahan tetapi pesakit harus mengikut giliran. Pesakit yang benar-benar dalam keadaan kronik akan diutamakan, tetapi pesakit yang tidak kronik pun, dalam proses menunggu mereka terdedah kepada pelbagai risiko jangkitan yang akhirnya membuatkan mereka meninggal dunia sebelum tarikh pembedahan,” kata Dr Azam.

    Bagaimana kecacatan jantung terjadi?

    Secara ringkas, jantung yang sihat terbahagi kepada empat kamar rongga, dua di kanan dan dua di kiri. Kedua-dua bahagian ini digunakan untuk tugas yang berlainan untuk melaksanakan fungsi asas jantung - mengepam darah ke seluruh tubuh. Sebelah kanan menggerakkan darah ke dalam saluran arteri pulmonari dan membawa ke paru-paru. Di sebelah kiri, jantung mengepam darah ke aorta. Dari oarta ada pelbagai lagi salur darah yang menyebarkan darah ke seluruh bahagian tubuh.

    Jantung bayi akan mula berdenyut pada hari ke 22 selepas ‘conception’. Ketika ini, jantung hanyalah berbentuk tiub yang ringkas. Antara hari ke 22 dan ke 24, jantung mula membengkok ke kanan dan bertaut secara sendiri untuk membentuk lengkok (loop). Hari ke 28 selepas ‘conception’ lengkok itu terbentuk dan tiub secara samar membentuk seperti jantung dengan struktur yang bertindak balas dengan dua bahagian jantung dan salur darah yang membawa darah keluar masuk darinya.

    Tetapi jika mesej genetik yang mengarahkan pertumbuhan dan pergerakan sel awal jantung ini bercampur aduk, sebahagian daripada otot jantung gagal terbentuk. Atau jika proses membengkok dan lengkok tidak berjalan sebagaimana sepatutnya, jantung akan membentuk sambungan yang abnormal.

    Tanda yang harus anda perhatikan

  • Secara umum, jika secara genetik anda memang datang dari keluarga yang berhadapan dengan masalah jantung konjenital, selalunya kandungan anda akan dipertimbangkan untuk menjalani ujian imbasan janin bagi mengetahui adakah bayi anda berhadapan dengan masalah jantung. Ujian itu dikenali sebagai ‘echocardiography’. Begitupun kata Dr Azam, ujian sebegitu pun tidak akan menjamin pengesanan secara terperinci.“Melalui ujian begitu, doktor mungkin tahu ada masalah lubang pada jantung tetapi kita tidak tahu di bahagian mana secara tepat. Doktor akan mempersiapkan ibu bapa dengan pendekatan psikologi bagi mereka menangani masalah ini,”katanya.
  • Jika anda tidak memiliki sejarah keluarga berkaitan masalah jantung konjenital, perhatikan jika bayi anda berubah warna beberapa hari, minggu atau bulan selepas dilahirkan. Kecacatan jantung yang serius mungkin akan muncul kemudian, Bayi ketika ini akan berwarna biru, pucat di sekeliling mata, bibir dan kuku jari.
  • Bengkak di bahagian kaki, perut atau sekeliling mata
  • Cepat penat ketika menyusu yang membuatkan berat badan tidak bertambah
  • Faktor

    Punca masalah jantung konjenital terjadi tidak diketahui secara tepat, tetapi beberapa faktor keliling dan genetik dikenal pasti menyumbang kepada masalah ini termasuklah:

    1. Genetik - masalah kromosom. Ini biasanya terjadi pada pasangan yang berusia kerana mereka berisiko untuk melahirkan bayi sindrom down.

    2. Penyakit ibu ketika hamil - Diabetes yang kronik akan mengganggu perkembangan jantung janin. Anda boleh mengurangkan risiko ini dengan mengawal diabetes.

    3. Ubat-ubatan - Sebaiknya berikan senarai ubat yang anda ambil kepada doktor perbidanan yang merawat, jika anda berhasrat untuk hamil. Ada sesetengah ubat yang diambil membawa kepada risiko jantung konjenital seperti lithium dan isotretinoin. Selain itu, pastikan anda mengambil ubat-ubatan yang doktor sarankan, Jangan makan ubat herba atau apa saja ubat tanpa nasihat doktor.

    4. Jangkitan ketika hamil - Ibu yang dijangkiti penyakit seperti rubella. Penting untuk ibu-ibu merancang kehamilan dan bertemu doktor sebelum hamil. Anda boleh diberi vaksin rubella sebelum hamil.

    Rawatan

    Rawatan bergantung kepada masalah. Jika ia membabitkan lubang yang terlalu besar, rawatan terbaik adalah pembedahan tetapi jika ia hanya membabitkan lubang yang kecil, ia akan menerusi prosedur non-surgical dinamakan ‘catheterization’. Doktor akan memasukkan tiub (catheter) untuk menutupnya.

    “Jika membabitkan catheterization ia akan dibuat bila-bila masa. Risikonya lagi tinggi jika bayi masih kecil. Jika ia membabitkan pembedahan, doktor akan mengambil kira berat badan bayi bukan usia,” katanya.

    Sumber: Berita Harian

    Popularity: 10% [?]

    Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • co.mments
    • connotea
    • del.icio.us
    • digg
    • Fark
    • feedmelinks
    • Furl
    • LinkaGoGo
    • NewsVine
    • Netvouz
    • RawSugar
    • scuttle
    • Shadows
    • Simpy
    • Smarking
    • Spurl
    • Wists
    • YahooMyWeb