
Apa perasaan anda jika diberitahu penyakit anak anda disebabkan kelalaian anda mematuhi jadual imunisasi? Jika penyakit itu boleh dirawat, pasti anda sanggup bergolok bergadai, tetapi bagaimana seandainya ia mengakibatkan kecacatan kekal atau kematian?
Kelalaian kita sebagai ibu bapa mematuhi jadual imunisasi sebenarnya mencabul atau menafikan hak anak untuk membesar dengan sihat.
Sebaik dilahirkan, semua bayi mempunyai hak untuk mendapat suntikan perlindungan penyakit atau imunisasi.
Hak ini sangat penting untuk dipenuhi dan diberikan keutamaan dengan adanya jadual imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan.
Malangnya, akibat kesibukan kerja, ada ibu bapa alpa untuk mematuhi jadual imunisasi berkenaan tanpa mengetahui akibat buruk yang bakal ditempuhi si kecil.
Sistem pertahanan badan bayi sangat lemah kerana ia belum terbentuk sepenuhnya. Ini menyebabkan mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan pelbagai penyakit.
Sedihnya, ada antara penyakit ini boleh menyebabkan kecacatan kekal atau lebih buruk, mengakibatkan kematian.
Nama penyakit seperti polio, batuk kering, Hepatitis A dan B, difteria, batuk kokol (pertusis), kancing gigi (tetanus), Haemophilus Influenza (Hib jenis B iaitu jangkitan saluran pernafasan), beguk, demam campak, demam kepialu, meningitis (radang pada selaput otak dan saraf tunjang) dan cacar air adalah penyakit yang boleh dielakkan melalui imunisasi.
Walaupun program imunisasi dimulakan sejak berpuluh tahun lalu, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2001 menganggarkan 34 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapat imunisasi lengkap sepanjang hayat mereka.
Daripada jumlah itu, dianggarkan 2.3 juta kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun kerana tidak mendapat perlindungan.
Carta WHO itu menunjukkan ramai kanak-kanak maut akibat demam campak, Hepatitis B, Haemophilus Influenza, batuk kokol, kancing gigi, demam kuning, difteria dan polio.
Ini menyedihkan kerana kematian akibat penyakit di atas boleh dielakkan.
Kebanyakan kanak-kanak malang itu tinggal di negara membangun yang tidak mempunyai kemudahan mendapatkan vaksin baru, terutama untuk serangan penyakit Hepatitis B dan Hib atau tidak mendapat dos pelalian penuh.
Pengarah dan Ketua Jabatan Virologi, Pusat Kajian Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR), Dr Nor Shahidah Khairullah, ketika sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia anjuran GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK) berkata, imunisasi adalah asas kesihatan masyarakat umum kerana tanpanya, semua program kesihatan susulan tidak berguna.
“Ia kaedah perlindungan paling mudah, berkesan, lebih murah dan selamat. Malah, perkembangan teknologi membolehkan penyelidik mencipta vaksin baru yang dapat melindungi kanak-kanak daripada jangkitan pelbagai jenis penyakit berbahaya,” katanya.
Mengapa perlu ada jadual imunisasi? Suntikan imunisasi diberikan secara berperingkat dalam jangka masa tertentu kerana badan bayi belum dapat menghasilkan antibodi mereka sendiri.
Jika anda melengahkan pemberian imunisasi kepada anak, antibodi dalam badan mereka akan berkurang dengan cepat dan mungkin tiada langsung jika suntikan vaksin seterusnya tidak diberikan.
Hanya selepas jadual imunisasi dipenuhi, baru badan kanak-kanak dapat menghasilkan antibodi secukupnya untuk melawan serangan virus atau bakteria. Sebaliknya, jika suntikan vaksin kedua atau ketiga dilengahkan sehingga beberapa bulan, keseluruhan proses imunisasi bagi sesetengah penyakit mungkin perlu diulang kembali bagi mengelakkan si kecil mendapat jangkitan.
Dr Nor Shahidah berkata, pemberian vaksin atau pelalian bukan hanya dapat mengurangkan belanja rawatan, tetapi turut melindungi keluarga daripada penyakit kerana jangkitan penyakit sangat mudah tersebar melalui kanak-kanak.
“Kanak-kanak hari ini beruntung, perkembangan teknologi memberi peluang penyelidik menghasilkan banyak vaksin baru yang membolehkan ia diperoleh pada harga jauh lebih murah dan selamat berbanding dulu. Pada masa sama, ia dapat memberikan perlindungan kepada lebih banyak bakteria dan virus penyebab penyakit berbahaya,” katanya.
Imunisasi wajib untuk kanak-kanak di Malaysia bermula sejak mereka dilahirkan. Ia dimulakan dengan pemberian suntikan vaksin BCG (untuk batuk kering), Hepatitis B, batuk kokol (pertusis) dan demam campak (rujuk jadual).
Antara penyakit yang dilindungi melalui suntikan imunisasi ialah:
Popularity: 7% [?]





























iya,jangan lupa imunisasi loh