SUNGAI BULOH: Mengerikan apabila seorang murid tahun dua hampir buta mata kanan selepas tertusuk pensel karbon rakan sekelasnya, baru-baru ini.
Insiden secara tidak disengajakan itu menyebabkan mangsa, Nurqistina Azzati Aidi Azha, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Rawang, menderita lebih sebulan selain terpaksa menjalani tiga pembedahan susulan.
Difahamkan, dalam kejadian itu, mata pensel terbabit menembusi bahagian kornea mata mangsa mengakibatkannya terkoyak.
Bapa mangsa, Aidi Azha Abdul Majid, 35, berkata dalam kejadian 16 Januari lalu, anaknya berada dalam bilik darjah di sebuah sekolah agama di Bukit Sentosa.
Menurutnya, ketika itu, Nurqistina duduk di bangkunya dalam kelas sementara menunggu kehadiran guru.
“Saya diberitahu, rakan sekelas Nurqistina yang duduk di sebelahnya cuba menarik penutup pensel terbabit yang ketat.
“Bagaimanapun ketika berusaha mencabut penutup itu, rakan anak saya itu terlepas pegangan pada batang pensel sebelum mata pensel terbenam ke kornea mata Nurqistina,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Aidi Azha berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan ketara pada mata anaknya sebaliknya hanya mengeluarkan air mata pada luka.
“Anak saya pulang ke rumah seperti biasa sebelum bergegas ke sekolah pada sesi petang.
“Namun kejadian terbabit terbongkar apabila seorang guru menghubungi saya jam 2 petang keesokan harinya dan memberitahu matanya berair dan merah,” katanya.
Susulan itu, dia segera mengambil anaknya di sekolah sebelum membawanya ke klinik untuk pemeriksaan.
“Namun doktor menyarankan anak saya segera dibawa ke hospital berikutan luka di matanya kian serius.
“Sebaik tiba di sebuah hospital swasta di Ampang, anak saya segera diperiksa doktor pakar sebelum diberitahu kornea matanya terkoyak. Doktor bagaimanapun memberitahu luka terbabit berkemungkinan akan bercantum semula,” katanya.
Berikutan itu Nurqistina dimasukkan ke wad selama enam hari selain disuntik dengan antibiotik setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman pada mata.
“Anak saya dibenarkan pulang sebelum bercuti selama seminggu bagi memastikan dia benar-benar sembuh.
“Namun sebaik memulakan persekolahan pada 12 Februari lalu, saya menerima panggilan daripada guru sekolah agama memberitahu mata anak saya tidak dapat melihat selain mengeluarkan air yang banyak,” katanya.
Berikutan itu, katanya dia segera merujuk anaknya ke hospital swasta di Ampang sebelum sebelum doktor mengesahkan luka pada mata Nurqistina terbuka semula.
“Doktor di hospital swasta itu menjalankan pembedahan dengan meletakkan tisu gam untuk mencantum semula luka terbabit.
“Malangnya luka berkenaan terbuka kembali menyebabkan doktor hospital swasta berkenaan menasihatkan saya merujuk ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Aidi Azha berkata, dia kemudian segera memindahkan anaknya ke Hospital Sungai Buloh kelmarin sebelum dua doktor pakar mata hospital berkenaan menjalankan periksaan rapi.
“Anak saya menjalani pembedahan sekitar jam 11 pagi semalam oleh dua pakar mata dan doktor pakar bius sebelum pembedahan selesai jam 12.30 tengah hari.
“Saya difahamkan, doktor pakar mata berkenaan cuba menampal lapisan kornea mata anak saya yang luka dengan kornea mata penderma dari Amerika Syarikat,” katanya.
Aidi Azha dan isteri, Norazlinda Jahrudin, 35, yang ditemui jelas lega dengan kejayaan pembedahan itu.
Menurutnya, Nurqistina masih dirawat di wad Pediatrik Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan rapi sepanjang masa.
Beliau berkata, kejadian itu dapat dielakkan sekiranya pensel yang berbahaya tidak dijual sewenang-wenang kepada kanak-kanak.
“Saya dapati pensel itu boleh ditukar mata karbon dengan mencabut dan memasukkannya semula di bahagian bawah. Malah mata karbon pensel itu cukup kuat dan tidak patah walaupun terjatuh.
“Pensel jenis begini sepatutnya diharamkan kerana boleh mencederakan. Malah mata hadapannya amat susah dicabut berbanding pensel tekan biasa,” katanya.
Sumber:Harian Metro Online
Popularity: 39% [?]




























