Kanak-kanak mesti dilatih lebih awal supaya mereka biasa dengan pelbagai sayur, buah-buahan

Kita sering mendengar keluhan daripada ibu bapa yang mengatakan anak mereka kurang selera makan. Kebimbangan mereka memuncak apabila mendapati berat anak mereka terus menurun.

Sebagai ibu bapa kita perlu faham bahawa terdapat pelbagai faktor menyebabkan selera makan kanak-kanak berkurangan. Antaranya faktor makanan itu sendiri, rasanya, penyajian kurang baik, menu makanan tidak menarik dan tidak bervariasi.

Selain itu, masalah anak tidak mahu makan terutama pada usia antara 1 hingga 3 tahun juga dipengaruhi sikap ibu bapa yang memaksa anak mereka makan dalam jumlah tertentu.

Perlu disedari, paksaan boleh menyebabkan anak marah dan memberontak ketika diberi makan. Dalam menghadapi keadaan begini, kesabaran amat diperlukan dan ibu bapa wajar memberi kasih sayang seperti memujuk dengan lemah lembut.

Kurang selera makan dalam jangka masa yang lama pada kanak-kanak boleh membahayakan kesihatannya seperti kekurangan gizi (zat) dan melambatkan pertumbuhan serta perkembangan minda mereka.

Memilih makanan yang sihat dan mengurangkan risiko kepada kesihatan kanak-kanak, bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi terdapat pelbagai makanan ringan atau makanan segera di luar. Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab untuk mengawal pola makanan dan jenis makanan anak mereka.

Mengikut kajian, pola pemakanan dan jenis makanan yang dimakan oleh kanak-kanak sekarang lebih banyak memberi kesan buruk kepada pertumbuhan mereka. Ibu bapa perlu memilih makanan yang benar-benar diperlukan bagi perkembangan kesihatan anak mereka.

Pakar Pemakanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Suhaila Mohamed, berkata kanak-kanak membesar dengan cepat tetapi saiz perut mereka tetap kecil iaitu sebesar genggaman tangan.

“Mereka memerlukan makanan yang sedikit tetapi berkhasiat dan mengandungi pelbagai vitamin serta zat galian,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak pada usia antara 1 hingga 3 tahun perlu diberikan makanan keluarga sesuai dengan pertumbuhan mereka.

“Bayi berumur antara 6 hingga 12 bulan pula boleh diberi daging, nasi dan sayuran yang dikisar dan dihancurkan. Bagi yang berumur satu tahun ke atas, mereka mempunyai daya fizikal untuk memakan makanan yang bertekstur seperti makanan seisi keluarga.

“Biasakan kanak-kanak pada usia ini boleh diberi jus buah-buahan dan sayuran yang berkhasiat bagi menggantikan nutrien yang kurang dalam badan mereka. Semua jenis buah-buahan dan sayuran baik untuk mereka,” katanya.

Katanya, sediakan sayur dan buah-buahan setiap kali waktu makan dengan memulakan sedikit demi sedikit supaya minat mereka timbul.

Dr Suhaila berkata, kanak-kanak harus dilatih dari awal supaya mereka biasa dengan pelbagai sayuran dan buah-buahan.

“Buah-buahan boleh diberi dalam bentuk jus atau dipotong kecil supaya mudah hadam. Tekstur makanan yang diberikan perlulah sentiasa diawasi bagi mengelakkan kanak-kanak dari tercekik.

“Cara mereka disuap dan kadar makanan yang diberikan perlu sesuai mengikut pertumbuhan mereka,” katanya.

Katanya, pelbagaikan cara penyediaan makanan dan memujuk dengan lembut adalah amalan yang paling baik.

“Beri galakan supaya mereka makan tetapi bukan memaksa. Beri makanan perlahan-lahan dengan penuh kesabaran. Ibu bapa perlu mempelbagaikan jenis makanan dan mengurangkan gangguan supaya waktu makan menjadi kesempatan untuk mereka belajar,” katanya.

Beliau berkata, perlu diingatkan pergantungan kepada susu ibu atau susu tin tidak memadai untuk menampung pertumbuhan kanak-kanak.

“Sayur dan buah-buahan perlu diberi agar khasiat penting yang tiada dalam susu dapat disalurkan.

“Soya adalah antara minuman yang berkhasiat dan penting untuk kanak-kanak pada usia antara 1 hingga 3 tahun,” katanya.

Katanya, makanan harian perlu lengkap dengan kandungan protein dan zat besi seperti ayam, daging lembu dan ikan kaya manakala sayuran yang kaya dengan vitamin A dan C termasuk labu kuning, lobak merah, ubi kuning, brokoli, tomato serta mangga.

“Pengambilan makanan tambahan seperti multi-vitamin mesti tinggi dengan kandungan tenaga, protein, zat galian, zat besi, zink, kalsium, vitamin A, vitamin C dan asid folik yang sesuai untuk pertumbuhan mereka.

“Pengambilan makanan tambahan ini sebaik-baiknya dimulakan dari peringkat awal. Selain dapat memberikan nutrien lengkap ia juga membantu menambah selera makan,” kata Dr Suhaila.

Beliau berkata, sayuran kaya dengan zat antioksidan seperti vitamin A, C dan E dapat mengurangkan risiko kanser.

“Fiber yang tidak larut dalam air terdapat dalam sayur yang tidak hadam dapat mencegah sembelit dan kanser,” katanya.

Jumlah makanan tambahan perlu diberi dalam sehari

  • Mulakan dengan 2 dan 3 sudu teh.
  • Berikan makanan tambahan tiga kali sehari bagi anak berumur 6 dan 7 bulan.
  • Tambahkan lima kali sehari apabila berumur 12 bulan.
  • Tambahkan snek apabila berumur 12 dan 24 bulan.
  • Tambahkan kadar dan pelbagaikan jenis makanan.
  • Gunakan sudu dan cawan - elakkan botol susu.
  • Tips untuk menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan buah-buahan

  • Sediakan hidangan yang menarik dan pelbagai warna.
  • Bijirin sarapan bersama buah-buahan.
  • “Milk shake” buah-buahan.
  • Bekalkan buah-buahan ke sekolah.
  • Babitkan anak ketika membeli sayur dan buah-buahan.
  • Beri peluang si kecil memilih sayur dan buah-buahan yang disukai.
  • Sumber : Berita Harian

    Popularity: 6% [?]

    Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • co.mments
    • connotea
    • del.icio.us
    • digg
    • Fark
    • feedmelinks
    • Furl
    • LinkaGoGo
    • NewsVine
    • Netvouz
    • RawSugar
    • scuttle
    • Shadows
    • Simpy
    • Smarking
    • Spurl
    • Wists
    • YahooMyWeb

    Susu ibu adalah penawar terbaik bagi bayi yang mengalami cirit-birit, gangguan sistem usus, jangkitan saluran pernafasan dan keradangan akibat serangan virus atau bakteria pada telinga.

    Bayi yang diberikan susu ibu mempunyai risiko rendah untuk mendapat pelbagai jangkitan atau masalah kesihatan kerana susu ibu mengandungi antibodi untuk menguatkan badan si kecil menentang serangan bakteria.

    Secara umumnya, susu ibu adalah makanan yang lengkap — ada protein, vitamin dan mineral; semuanya penting untuk membentuk sistem pertahanan badan bayi dan membantu pertumbuhan serta perkembangannya.

    Susu ibu sebenarnya mengandungi banyak faktor-bio yang kompleks. Faktor-bio adalah bahan yang memberi kesan positif dan merangsang sistem biologi badan, mengekalkan mikro organisma berguna dalam usus bagi mengekalkan kestabilan kesihatan. Faktor ini membantu meningkatkan sistem imunisasi bayi yang diberikan susu badan.

    Antara faktor-bio utama yang dikenal pasti dan ditambah dalam susu formula ialah nukleotida, rantaian panjang asid lemak tidak tepu (LCP) seperti asid arakidonik (AA) dan asid dokoheksanoik (DHA), selenium dan karotenoid.

    Selain itu, susu ibu mengandungi faktor anti-mikrobial yang berfungsi menentang bakteria dalam usus (seperti laktoferin, lisozim, IgA, lipid dan oligosakarida); anti-keradangan (contohnya prostaglandin, kortisol, epitelial, faktor tumbesaran, asid lemak tidak tepu) serta perangsang sistem imunisasi (seperti sitokinin dan nukleotida).

    Sistem pertahanan

    Seperkara lagi, susu ibu juga ada satu bahan dipanggil limfosit yang meningkatkan sistem pertahanan badan, manakala faktor bifida membantu pertumbuhan bakteria berguna, Lactobacillus bifidus dalam usus.

    Bunyinya mungkin terlalu ilmiah, tetapi ini antara ‘bahan penting’ dalam susu ibu yang sudah dikenal pasti. Susu ibu memang unik dan ia digunakan sebagai piawaian untuk pengeluar susu formula.

    Sehingga kini belum ada susu formula mampu menyaingi khasiatnya kerana ada beratus-ratus faktor-bio belum dapat ‘ditambah’ ke dalam susu formula.

    Pensyarah Kolej Perubatan dan Kesihatan Umum, Universiti South Florida, Dr Jane Carver, berkata kajian membuktikan kanak-kanak yang diberikan susu ibu membesar dengan lebih baik dan cepat.

    Katanya, kanak-kanak yang dibesarkan dengan susu ibu didapati lebih cerdik, mendapat keputusan baik dalam pelajaran dan kecerdasan ini dipercayai berlanjutan sehingga dewasa.

    “Sememangnya khasiat susu ibu tiada tandingan. Bahan penting susu ibu seperti AA dan DHA membantu perkembangan neuro (sistem saraf) dan otak yang lebih baik.

    “Susu ibu juga mengandungi hampir 30 jenis karotenoid yang memainkan fungsi penting dalam sistem pertahanan badan bayi. Ia berfungsi sebagai agen antioksidan dan anti keradangan.

    “Selenium pula berfungsi sebagai antioksidan untuk mengelakkan kemusnahan membran sel dan merangsang proses pembesaran,” katanya ketika perbincangan media mengenai faktor-bio dalam pemakanan bayi anjuran Wyeth (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini.

    Susu badan sangat penting, terutama kepada bayi pramatang (tidak cukup bulan) kerana organ mereka belum berkembang sepenuhnya ketika dilahirkan. Malah, kebanyakannya mengalami masalah kekurangan berat badan dan mudah mendapat jangkitan.

    Kajian epidemiologi dan klinikal menunjukkan susu ibu yang kaya karotenoid mampu merendahkan risiko mengalami pelbagai penyakit akibat kemerosotan tisu, gangguan retina mata dan displasia bronkopulmonari (perkembangan paru-paru yang tidak normal).

    Susu ibu adalah makanan yang steril. Justeru anak yang mengalami cirit-birit dan diberikan susu ibu akan terhindar daripada jangkitan bakteria atau virus berterusan.

    Kandungan nukleotida dalam susu ibu juga mampu menguatkan sistem usus dan imun bayi. Ini juga sebabnya bayi yang diberikan susu ibu mempunyai risiko rendah mengalami cirit-birit.

    “Malangnya, ramai ibu berhenti memberikan susu ibu apabila mereka kembali bekerja. Walaupun susu formula juga ada banyak khasiat, ia belum dapat menandingi susu ibu kerana kandungan susu ibu berubah mengikut keperluan anak.

    “Berikan susu badan kepada anak walaupun sedikit, tetapi anak tetap akan mendapat banyak manfaatnya. Pemakanan ketika kecil akan memberi kesan besar apabila anak dewasa. Justeru, jangan bazirkan anugerah yang diberikan,” katanya.

    Sumber:Harian Metro

    Popularity: 5% [?]

    Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • co.mments
    • connotea
    • del.icio.us
    • digg
    • Fark
    • feedmelinks
    • Furl
    • LinkaGoGo
    • NewsVine
    • Netvouz
    • RawSugar
    • scuttle
    • Shadows
    • Simpy
    • Smarking
    • Spurl
    • Wists
    • YahooMyWeb

    KEGUGURAN pada usia dua atau tiga bulan memang sering didengar. Bagi kebanyakan wanita, pengalaman sendiri atau kisah daripada rakan menjadikan mereka lebih berhati-hati pada awal kehamilan.

    Tetapi apa sebenarnya yang anda tahu mengenai keguguran? Mengikut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Salleh Mohd Yatim, kandungan yang ‘jatuh’ 28 minggu ke bawah didefinasikan sebagai keguguran tetapi jika ia ‘jatuh’ selepas tempoh itu ia dinamakan kelahiran.

    “Dari sudut kesihatan, anda harus tahu keguguran dibahagi kepada beberapa jenis (type) dan sama ada keguguran itu adalah keguguran normal (spontan) atau pengguguran haram, kedua-duanya memiliki risiko jika tidak dirawat dengan betul,” katanya.

    Dari sudut kesihatan, Dr Salleh berkata, keguguran sebenarnya berlaku disebabkan faktor ibu dan janin. Dalam kebanyakan kes, usia ibu yang lanjut, ibu berpenyakit seperti kencing manis, buah pinggang, endokrin dan lain-lain penyakit yang tidak dirawat atau dikawal rapi boleh membawa kepada keguguran.

    Selain itu, kecacatan pada pangkal rahim (cervical incompetence) dan kecacatan rahim (uterus) juga boleh menyebabkan keguguran.

    “Kerana itu, sebelum seseorang wanita hamil, dia sepatutnya berjumpa dengan doktor bagi memastikan tahap kesihatannya. Sebaiknya enam bulan sebelum hamil. Ini bagi memastikan dia tidak berhadapan dengan apa-apa risiko jika hamil. Tetapi kebanyakan wanita Malaysia akan hamil tanpa berjumpa dengan doktor dan akan hanya mengetahui risiko kesihatan yang bakal mereka hadapi selepas kandungan berusia beberapa bulan,” katanya.

    Begitupun, walaupun ibu sihat dan bersedia untuk hamil, keguguran juga boleh terjadi jika janin dalam kandungan tidak stabil. Ini merujuk pada kandungan yang gugur sebelum berusia tiga bulan. Biasanya janin tidak sempurna dan tidak boleh hidup di luar kandungan.

    Ada juga janin yang tidak sihat ini terus membesar dan lahir ke dunia. Malangnya apabila mereka lahir, bayi ini tidak boleh hidup tanpa bantuan makanan seperti dalam kandungan. Apabila ini terjadi biasanya bayi akan meninggal dunia tidak berapa lama selepas dilahirkan.

    Jika ditinjau dari sudut undang-undang dan agama, pengguguran tidak dibenarkan sama sekali kecuali kandungan itu boleh membahayakan kesihatan ibu dan menyebabkan kematian.

    Pengguguran haram pula, mengundang maut dan masalah kesihatan kerana cara yang tidak sempurna boleh menyebabkan banyak masalah kepada ibu. Antara masalah biasa pengguguran haram termasuklah pendarahan, jangkitan, septisimea dan kematian juga boleh berlaku.

    Jenis keguguran

  • Threatened abortion
    BIASANYA bakal ibu mengalami pendarahan tetapi apabila pemeriksaan dilakukan, kandungan masih lagi hidup. Pesakit dinasihatkan banyak berehat dan mengelak daripada kerja-kerja fizikal yang berat. Kemungkinan pendarahan akan berhenti dan kandungan kembali stabil itu ada.
  • Inevitable abortion
    MERUJUK keguguran yang tidak boleh diselamatkan. Biasanya ibu akan berasa sangat sakit dan pemeriksaan mendapati pintu rahim sudah terbuka.
  • Complete abortion
    PESAKIT akan mengalami kesakitan dan pendarahan pada mulanya. Dalam keadaan ini keguguran berlaku di mana janin dan segala tisu yang berkaitan keluar dengan sendirinya.
  • Incomplete abortion
    KEGUGURAN yang tidak ‘membersihkan’ seluruh ruang rahim. Apabila pemeriksaan dilakukan selepas keguguran, didapati bahawa masih terdapat tisu-tisu atau janin di dalam rahim.
  • Missed abortion
    BIASANYA, ia disedari apabila si ibu berhenti mengalami alahan seperti sebelumnya, apabila perut tidak membesar seperti yang dijangkakan atau bayi di dalam kandungan tidak bergerak. Pemeriksaan akan mendapati bahawa janin meninggal.
  • Septic abortion
    KEADAAN ini berlaku apabila keguguran disertai jangkitan pada fetus, placental atau endometrium. Demam adalah simptom keguguran begini dan disertai simptom yang dikaitkan dengan keguguran biasa seperti pendarahan. Antara sebab berlakunya jangkitan, ia dikaitkan dengan tisu placental atau fetal yang tertinggal dalam rahim berikutan incomplete abortion.
  • Popularity: 6% [?]

    Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
    • blinkbits
    • BlinkList
    • blogmarks
    • co.mments
    • connotea
    • del.icio.us
    • digg
    • Fark
    • feedmelinks
    • Furl
    • LinkaGoGo
    • NewsVine
    • Netvouz
    • RawSugar
    • scuttle
    • Shadows
    • Simpy
    • Smarking
    • Spurl
    • Wists
    • YahooMyWeb